• Individu Sindiket Penipuan Hartanah Ditahan

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki yang juga pengurus projek sebuah syarikat kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan hartanah yang tidak wujud di Sabah.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata suspek berusia 43 tahun itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Selasa lepas.

    “Sebelum suspek ditahan, kita menerima laporan daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkenaan terdapat pemasaran pembangunan hartanah di kawasan Lot CL 045091174 di Karambunai, Kota Kinabalu.

    “DBKK selaku pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab mempertimbang dan meluluskan cadangan pembangunan dalam kawasan pentadbirannya melaporkan mereka tidak pernah menerima atau meluluskan permohonan cadangan pembangunan di tapak tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Susulan laporan itu, beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati pihak syarikat suspek telah melakukan majlis pemeterian perjanjian projek pembangunan di kawasan berkenaan, Isnin lepas.

    “Majlis itu disiarkan secara langsung dan disaksikan lebih 2,000 orang yang kebanyakannya pelancong asing warga China di Kompleks Sukan Likas.

    “Siasatan juga mendapati selepas acara itu, syarikat berkenaan mengadakan majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di sini yang juga dihadiri kira-kira 2,000 orang kebanyakannya pelancong warga China,” katanya.

    Ramli berkata siasatan lanjut mendapati status tanah berkeluasan 85 hektar yang kononnya ingin dibangunkan syarikat berkenaan berstatus kawasan tadahan air, sedangkan sebarang projek pembangunan tidak boleh dilakukan di tanah tersebut.

    Beliau berkata pihaknya juga telah merampas pelbagai dokumen di premis syarikat suspek termasuk resit transaksi yang kebanyakannya dibuat di luar negara termasuk Taiwan dan China.

    “Bagaimanapun kita belum dapat memastikan berapa jumlah keseluruhan transaksi tersebut dan kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

    Beliau berkata suspek kini direman enam hari sehingga 21 Okt, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cuba menipu.

    “Kita juga sedang mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kes tersebut dan sindiket penipuan ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini,” katanya.

    Sehubungan itu, Ramli meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiataan penipuan hartanah, dan segera membuat semakan dengan agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan kesahihan pelaburan hartanah berkenaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Individu Sindiket Penipuan Hartanah Ditahan "