• Indentiti 4 Lelaki Kes Bunuh Kim Jong-Nam Didedah

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM – Seorang pegawai polis hari ini mendedahkan identiti empat lelaki yang masih bebas dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam, pada Februari lepas pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini.

    Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA Asisten Supritendan Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz berkata berdasarkan hasil siasatan, empat lelaki itu ialah Mr Chang, James, Mr Y dan Hanamori atau dikenali sebagai “grandpa atau uncle”.

    “Saya memperolehi nama-nama lelaki itu daripada kedua-dua tertuduh iaitu Siti Aisyah dan Doan Thi Huong ketika melakukan siasatan terhadap mereka dalam kes bunuh itu. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup CCTV, lelaki yang memakai baju hitam yang berjalan dengan Doan ialah “Mr Y”.

    “Dalam kes ini, “Mr Y” yang memakai baju hitam dan beg galas memainkan peranan sebagai individu yang menyapu cecair ke tangan Doan selain membelikan tiket teksi untuk Siti Aisyah, manakala Mr Chang yang memakai topi hitam yang berjumpa Siti Aisyah di restoran Bibik Heritage memainkan peranan menyapu cecair di tangan Siti Aisyah,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin .

    Wan Azirul Nizam berkata Hanamori berperanan sebagai individu yang memberikan arahan kepada “Mr Y”, manakala James pula berperanan merekrut Siti Aisyah.

    Warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

    Kepada soalan bagaimana rampasan barang kes dilakukan, saksi kesembilan pihak pendakwaan itu berkata barang kes dirampas oleh polis selepas kedua-dua tertuduh menunjukkan sendiri barangan tersebut.

    Mengenai pasport Kim Chol pula, Wan Azirul Nizam berkata pasport milik Kim Chol yang diambil untuk membantu siasatan dan dibuat salinan telah diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara.

    Pada peringkat itu, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah mengemukakan bantahan terhadap penandaan salinan pasport sebagai eksibit dalam kes itu dengan alasan Akta Keterangan 1950 memperuntukkan salinan dokumen awam hendaklah disahkan terlebih dahulu sebelum diterima sebagai bukti sekunder di mahkamah.

    Beliau berkata pihaknya membantah disebabkan dokumen berkenaan tidak boleh dibandingkan dengan dokumen asal kerana dokumen asal sudah dihantar ke Kedutaan Korea Utara.
    ​​​​​​​
    Sementara itu, peguam Salim Basheer yang mewakili Doan berkata pihak pendakwaan hanya boleh mengemukakan dokumen sekunder jika dokumen asal musnah atau hilang.

    Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan mengemukakan dokumen itu sebagai bukti sekunder mengikut Seksyen 63 Akta Keterangan.
    “Pasport itu berada di dalam simpanan pegawai penyiasat dan dokumen asal sudah dikembalikan kepada kedutaan dan saksi sendiri yang membuat salinan. Ini bukan kes hilang dokumen,” katanya.

    Hakim Datuk Azmi Ariffin yang mendengar perbicaraan kes itu berkata beliau akan membuat keputusan berhubung perkara itu kemudian dan mahkamah setakat ini tidak menandakan pasport itu sebagai eksibit.

    Sementara itu, Ketua Unit DNA Forensik Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon berkata tiada kesan DNA ditemui pada skaf Siti Aisyah kerana DNA telah terurai atau mengalami degradasi atas beberapa faktor.
    ​​​​​​​
    “Antaranya disebabkan kelembapan yang melampau, DNA boleh musnah disebabkan suhu tinggi, dan yang ketiga, bahan tersebut telah terdedah kepada bahan-bahan kimia yang dapat menguraikan DNA,” katanya.

    Saksi ke-10 itu berkata hasil analisis DNA yang dijalankannya mendapati satu profil DNA wanita diperoleh daripada kesan darah pada tuala wanita dan menurutnya profil DNA itu sepadan dengan DNA surih (profil DNA melalui sentuhan) daripada baju sejuk yang dilabel dengan nama Doan.

    “DNA yang diambil daripada baju sejuk itu diambil di bahagian dalam yang bersentuhan dengan kulit pakaian iaitu di bahagian kolar dan ketiak,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari pada sesi pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes.

    Jurufoto di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Sepang, Koperal Mohd Nordin Mohd Zain, 50, berkata beliau telah mengambil 134 keping gambar bedah siasat jasad seorang lelaki pada 15 Feb lepas, 12.45 tengah hari di Hospital Kuala Lumpur selepas mendapat arahan berbuat demikian..

    Saksi ke-11 itu berkata kesemua gambar yang disimpan dalam kad memori kemudiannya dimuat turun ke dalam cakera padat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

    Saksi ke-12 iaitu Lans Koperal Ali Imran Rifin yang bertugas di tempat sama pula berkata beliau telah mengambil tiga keping gambar di tempat kejadian di klia2 dan dua keping gambar barangan milik seorang lelaki yang telah mati pada 13 Feb lepas, 2.30 petang.

    Perbicaraan bersambung 24 Okt. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Indentiti 4 Lelaki Kes Bunuh Kim Jong-Nam Didedah "