• IMWA Bantu Bawa Pekerja Indonesia Di Sarawak

    Published: Sunday, 29 October 2017
    A- A+


    KUCHING - Anugerah Pekerja Migran Indonesia (IMWA) telah membantu pekerja Indonesia dan majikan masing-masing dalam mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.

    Pengerusi IMWA Andre Suharto berkata impak positif IMWA telah memberi manfaat kepada pihak berkepentingan iaitu pekerja, majikan, kerajaan negeri Sarawak, Konsulat Jeneral Republik Indonesia dan komuniti.


    “Pekerja Indonesia yang dicalonkan mendapat inspirasi, tersentuh dan bangga dengan layanan dan perhatian diberikan majikan masing-masing dan juga Konsulat Jeneral Republik Indonesia atas usaha anggota jawatankuasa penganjur IMWA yang melawat pekerja di tempat kerja masing-masing.

    “Program ini telah meningkatkan semangat pekerja kerana mereka tidak lagi berasa yang mereka hanya dianggap sebagai buruh murah tetapi kini percaya majikan melihat potensi diri mereka sebagai pekerja yang bertanggungjawab, berdisiplin dan mematuhi undang-undang yang bukan sahaja komited terhadap kerja tetapi juga komited untuk menyumbang kepada aktiviti sosial,” katanya dalam ucapan pada majlis IMWA 2017 di sini, malam tadi.

    Turut hadir Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Jahar Gultom.

    IMWA 2017 menarik 109 pencalonan dengan wang tajaan berjumlah RM447,000 yang disumbangkan oleh 20 syarikat.

    Sementara itu, Jahar berkata IMWA diwujudkan sebagai pendekatan baharu untuk melindungi pekerja Indonesia di Sarawak dan menerusi IMWA mereka mengiktiraf pekerja migran Indonesia yang cemerlang di Sarawak.

    “Kami berharap ini akan memberi motivasi dan inspirasi kepada pekerja Indonesia untuk memberikan prestasi terbaik dalam menjalankan kerja mereka, mematuhi prosedur pekerjaan yang betul dan meminimumkan isu yang sering timbul daripada pengambilan pekerja secara tidak sah. Ia juga berobjektif untuk memperkukuhkan hubungan kerja dengan Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching,” katanya.

    Jahar berkata sebelum ini pada IMWA 2015 menyaksikan 64 calon daripada industri perladangan, pembalakan dan pembinaan/pembuatan.

    “Bagi IMWA 2017, kami berjaya meningkatkan jumlah calon kepada 109 bagi ketiga-tiga kategori. Ini menunjukkan tahap pengiktirafan terhadap manfaat IMWA daripada syarikat dan pekerja migran Indonesia di Sarawak.

    “Di samping itu, kami juga menjalin kerjasama dan persefahaman lebih baik dengan pihak industri dalam memberikan galakan dan perlindungan kepada pekerja Indonesia di Sarawak,” katanya. - Bernama
  • No Comment to " IMWA Bantu Bawa Pekerja Indonesia Di Sarawak "