• Imigresen Tahan 108 PATI Sedang Kerja Di Kilang Kayu

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    KUCHING – Seramai 108 pendatang asing tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen dalam satu serbuan oleh bahagian penguat kuasa Jabatan Imigresen di sebuah kilang kayu di Tanjung Manis, kira-kira 125km dari sini, Sabtu.

    Jabatan Imigresen Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi membabitkan pegawai-pegawainya dari bahagian penguat kuasa Kuching, Sibu, Sarikei dan Sri Aman diketuai Timbalan Penolong Penguasa Kanan (TPPK) Mehuen anak Runies itu dijalankan semasa semua warga asing berkenaan sedang bekerja.

    Menurutnya 38 lelaki dan 23 wanita Indonesia ditahan kerana disyaki tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, manakala 24 lelaki serta 13 wanita Indonesia lagi ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

    “Seorang lelaki warga Bangladesh, dan seorang warga India turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

    “Lima lagi lelaki serta seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit yang sah, manakala dua lagi lelaki warga Indonesia pula disyaki melanggar lain-lain syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu semasa serbuan, ada di antara pendatang yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebalik timbunan kayu lapis, naik ke atas bumbung dan tidak kurang juga yang melarikan diri ke dalam belukar atau hutan berhampiran.

    Menurut beliau, jabatan itu turut mengeluarkan surat saman saksi kepada empat wakil majikan bagi membantu siasatan. – BERNAMA
  • No Comment to " Imigresen Tahan 108 PATI Sedang Kerja Di Kilang Kayu "