• Imigresen Sabah patahkan sindiket pemalsuan dokumen

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+
    KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Sabah berjaya mematahkan satu sindiket pemalsuan dokumen selepas menahan lima warga Filipina termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah setinggan di Batu 7, Jalan Labuk, Sandakan awal pagi semalam.

    Dalam satu kenyataan di sini hari ini, jabatan itu berkata, suspek yang berusia 14 hingga 52 tahun terbabit diberkas oleh Imigresen Sandakan dan Lahad Datu pada 4 pagi susulan maklumat daripada Ops Serkap di Kampung Bangkarat, Tungku, Lahad Datu sebelum ini.

    Dua daripada suspek memegang kad pengenalan penduduk tetap, seorang memiliki sijil lahir dan dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen, kata jabatan itu.

    Siasatan awal menunjukkan sindiket mengenakan bayaran sehingga RM1,500 bagi setiap set dokumen permohonan.

    Dalam serbuan itu, pihak imigresen turut merampas dokumen yang disyaki palsu iaitu 15 salinan dokumen IMM13 yang telah disahkan berserta resit bayaran, 14 keping surat permohonan permit masuk, 14 keping permit masuk (disyaki palsu), tujuh keping resit bayaran permit masuk dan dua keping salinan surat pengesahan status pelarian daripada Pasukan Petugas Khas Persekutuan Wilayah Sandakan.

    Turut dirampas ialah empat keping surat kelulusan permohonan permit masuk, enam keping borang akuan, lapan keping dokumen IMM13 berwarna oren yang telah tamat tempoh dan 12 keping surat kelulusan kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Sabah, 24 keping resit bayaran permit masuk JPN, tiga keping MyKad (disyaki palsu) dan 70 keping gambar berukuran pasport. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Imigresen Sabah patahkan sindiket pemalsuan dokumen "