• Iceland Cipta Sejarah Layak Ke Piala Dunia

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+
     

    PARIS: Iceland layak ke Piala Dunia buat pertama kali selepas menewaskan Kosovo 2-0, awal pagi tadi manakala Serbia juga menempah tiket ke pusingan akhir dengan kemenangan 1-0 mengatasi Georgia.

    Pemain tengah Everton, Gylfi Sigurdsson dan Johann Gudmundsson menjaringkan gol di Reykjavik ketika Iceland, dengan populasi penduduk hanya 330,000, menjadi negara paling kecil mara ke pusingan akhir Piala Dunia.

    Ia adalah penampilan kedua berturut-turut pulau kecil di utara Eropah itu dalam kejohanan utama selepas kemenangan mengejut mengatasi England pada suku akhir Euro 2016.

    "Saya rasa selepas Euro 2016, perkara paling sukar ialah untuk mendapatkan motivasi bagi diri kami sekali lagi," kata jurulatih Iceland, Heimir Hallgrimsson. "Perkara paling sukar ialah kembali selepas keraian yang besar di Perancis.

    "Dan apa yang ada dalam kumpulan ini ialah saingan antara Croatia, Turki, Ukraine dan Finland.

    "Kejayaan ini bukanlah penamat tetapi ia pengembaraan yang panjang ke destinasi terakhir."

    Iceland memerlukan tiga mata untuk memastikan mereka layak di tangga teratas Kumpulan I, Eropah ketika Croatia, yang memecat jurulatih Ante Cacic minggu lalu, membenam Ukraine 2-0 di Kiev untuk merebut kedudukan kedua.

    Andrej Kramatic meledak dua gol pada babak kedua untuk membawa Croatia ke penentuan playoff bulan depan ketika Zlatko Dalic mengambil alih tugas pada perlawanan pertama berikutan seri 1-1 bertemu Finland yang menyebabkan Cacic dipecat.

    Sementara itu Aleksandar Prijovic menjaringkan gol selepas dimasukkan daripada bangku simpanan bagi mengesahkan tempat Serbia di Russia, menamatkan penantian selama lapan tahun bagi mengesahkan tempat ke pusingan akhir.

    Prijovic meledak gol kemenangan pada minit ke-74 di Belgrade bagi membolehkan Serbia berkedudukan teratas Kumpulan D.

    Republik Ireland pula akan ke perlawanan playoff selepas kemenangan 1-0 mengatasi Wales di Cardiff. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Iceland Cipta Sejarah Layak Ke Piala Dunia "