• Ibu Tinggalkan Bayi Baru Dilahirkan

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    Wanita yang baru melahirkan bayi perempuan meninggalkan anaknya sebelum melarikan diri di sebuah hospital swasta di Kuching, petang semalam.

    Suspek berusia 23 tahun yang berasal dari Indonesia itu datang ke hospital berkenaan jam 3.30 petang sebelum melahirkan bayi setengah jam kemudian.

    Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, bayi terbabit bagaimanapun diletakkan di bilik jagaan kerana kurang sihat dan memerlukan pemantauan doktor.

    Menurutnya, suspek pula ditempatkan di bilik rawatan untuk pemantauan lanjut namun disedari hilang oleh seorang jururawat jam 3 petang semalam.

    “Jururawat menyedari kehilangan suspek selepas mendapati wanita terbabit tiada di biliknya ketika mahu menjalankan pemeriksaan.

    “Beberapa jururawat bertugas kemudiannya memeriksa kawasan sekitar bilik rawatan dan hospital namun tidak menemuinya," katanya hari ini.

    Abang Ahmad berkata, pihak pengurusan hospital kemudiannya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek keluar dari kawasan hospital tanpa kebenaran.

    Katanya, susulan daripada kejadian itu, jururawat kemudiannya membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan bagi mengesan wanita terbabit.

    Beliau berkata, pihak hospital juga sudah memaklumkan kehilangan warga Indonesia itu kepada Konsulat republik berkenaan di Kuching untuk membantu mengesan wanita terbabit.

    "Setakat ini, anak suspek masih di bawah penjagaan hospital dan dalam keadaan baik," katanya.

    Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2011 (Pindaan 2016) dan orang ramai yang menemui wanita dalam keadaan lemah dan mencurigakan diminta menghubungi polis segera untuk tindakan lanjut.-myMetro
  • No Comment to " Ibu Tinggalkan Bayi Baru Dilahirkan "