• Ibu Pelatih Terima Ganti Rugi RM305,000

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan kerajaan Malaysia dan dua lagi defendan membayar ganti rugi sebanyak RM305,000 kepada ibu pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi, atas kecuaian menyebabkan anaknya mati dalam tahanan, empat tahun lalu.

    Keluarga pelatih Mohamad Ezanee Zakaria menang saman terhadap kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan dua bekas polis bantuan, Darmaji Darwi, 28, sebagai defendan kelima dan Mohsin Jamari, 35, sebagai defendan keenam.

    Hakim, Datuk Teo Say Eng memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM305,000 kepada keluarga Mohamad Ezanee.

    Kos terbabit adalah sebagai ganti rugi am sebanyak RM100,000, RM200,000 bagi ganti rugi pengajaran, teruk dan penyalahgunaan awam serta ganti rugi khas kos pengebumian RM5,000.

    Defendan pertama turut diarah membayar kos tindakan RM50,000 kepada plaintif berserta faedah lima peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.

    Say Eng dalam hujah penghakiman mengarahkan defendan pertama, kelima dan keenam membayar semua ganti rugi terbabit kerana mempunyai tanggungan secara bersama atau berasingan menyebabkan kecuaian.

    Manakala bagi tuntutan terhadap defendan kedua iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (defendan ketiga) dan Pengarah CCRC Kota Tinggi (defendan keempat) ditolak tanpa perintah kos disebabkan tiada 'Vikarius Liabiliti'.

    Kes plaintif dikendalikan peguam Ahmad Hafiz Zubir dan Auzan Sazali, manakala kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Thalha Bachok dan defendan kelima serta keenam tidak diwakili peguam.

    Sebelum ini, defendan kelima dan keenam juga sudah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi mengikut Sesyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

    Terdahulu, keluarga Mohamad Ezanee yang diwakili ibu pelatih, Mek Esah Jusoh, 73, memfailkan saman pada 30 Januari 2014 berjumlah RM1.55 juta.

    Dalam tuntutannya, Mek Esah mendakwa kesemua defendan cuai dalam memastikan keselamatan mangsa.

    Pada 14 November 2013, Mohamad Ezanee dimasukkan ke CCRC Kota Tinggi sebagai pelatih dan pada hari sama dia dipercayai dipukul petugas semasa dalam jagaan pusat itu pada jam 4.30 petang.

    Mohamad Ezanee dibawa ke Hospital Kota Tinggi dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta disahkan koma sebelum meninggal dunia pada jam 10.45 pagi, 15 November 2013. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Pelatih Terima Ganti Rugi RM305,000 "