• Ibarat Menjilat Ludah Sendiri

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelaburan dengan China, ibarat menjilat ludah sendiri.

    Sebelum ini, parti itu secara terang-terangan menolak BR1M, yang mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012 dan menyifatkannya sebagai 'dedak' buat rakyat.

    Malah, pemimpin pembangkang juga menyelar perjanjian pelaburan kerajaan dengan China, kononnya ia menjual maruah negara.

    Pakatan pembangkang menerusi laporan Belanjawan Alternatif 2018, jelas menyatakan akan meneruskan pemberian BR1M dan pelaburan dengan China.

    Malah, janji yang dikemukakan itu hadir ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dijangka akan diadakan bila-bila masa saja.

    Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, turut melihat Belanjawan Alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan itu juga sebagai bajet pilihan raya semata-mata bertujuan memancing undi.

    Jadi usul yang dikemukakan oleh PH itu perlu dibaca dengan berhati-hati dan tidak boleh diterima secara bulat-bulat.

    Beliau yang juga profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata, belanjawan alternatif itu tidak primitif, yang mana kenyataan dan wawasan yang dikemukakan itu tidak semestinya akan dilaksanakan.

    "Pakatan menolak dasar yang dilakukan kerajaan untuk memberi gambaran buruk mengenai langkah yang dilakukan oleh kerajaan sekarang.

    "Namun, kali ini mereka terpaksa mengubah kenyataan itu kerana mahu mendapatkan undi dalam pilihan raya dan memerintah.

    "Justeru, usul pakatan ini perlu dibaca dengan berhati-hati dan tidak boleh diterima secara bulat-bulat," katanya.

    Prof Barjoyai berkata, rakyat perlu memahami bahawa menerusi politik semuanya boleh berlaku.

    Beliau turut mengambil contoh kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berubah ketika mentadbir kerajaan dan ketika ini.

    "Mengubah kenyataan adalah perkara biasa dalam politik..mereka lakukan hanya untuk memikat pengundi dan hati rakyat.

    "Belanjawan bayangan itu tidak semestinya akan dilaksanakan jika mereka memerintah. Semuanya bergantung pada keupayaan pada masa depan nanti," katanya.

    Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata belanjawan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan itu jelas menunjukkan percanggahan pendirian mereka.

    Beliau juga berkata, belanjawan pembangkang itu adalah belanjawan pilihan raya, yang bertujuan memancing undi dan memenangi hati rakyat.

    Mohd Yusof berkata, pakar ekonomi sudah membuktikan BR1M dapat membantu rakyat dan ia satu kaedah untuk kerajaan berkongsi rezeki dengan rakyat.

    "Pelaburan besar dengan China pula sememangnya tidak boleh dielakkan. China sekarang adalah kuasa ekonomi terbesar dunia dan sudah mengatasi Amerika Syarikat.

    "Jadi, Malaysia harus mengambil manfaat daripada China," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ibarat Menjilat Ludah Sendiri "