• 'Ia Latihan Untuk Merogol' - Netizen

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    Untuk berkhidmat dalam pasukan tentera atau mana-mana badan beruniform, latihan yang diberikan kepada pelatih penting bagi membina ketahanan mental dan fizikal mereka, namun latihan yang diberikan perlulah rasional.

    Bagaimanapun, latihan ketenteraan melibatkan pelatih di China nampaknya mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen di negara itu selepas satu rakaman video tular di laman sosial, baru-baru ini.

    Memetik Shanghaiist, rakaman sesi latihan melibatkan pelatih muda lelaki dan wanita itu tersebar di media sosial pada Jumaat lalu.

    Berdasarkan rakaman tersebut, pelatih lelaki diarah melakukan tekan tubi di atas badan pelatih wanita yang kelihatan sedang berbaring di atas tanah.

    Mereka masing-masing memakai baju berceloreng berwarna hijau dan berada dalam satu deretan. Latihan tekan tubi yang disifatkan berunsur seksual itu menyebabkan pelatih wanita kelihatan segan lalu bertindak menutup wajah mereka.

    Portal itu juga melaporkan, kedengaran jurulatih melakukan kiraan sementara pelatih lelaki mula melakukan tekan tubi di atas badan pelatih wanita.

    Rata-rata pengguna media sosial di negara itu mempertikaikan kewajaran latihan tersebut.

    “Idea latihan tentera yang tidak masuk akal dan menjijikkan...,” tulis Rufus.

    Seorang lagi netizen berkata, “gangguan seksual diinstitusikan kepada setiap orang remaja dalam masyarakat yang tiada keseimbangan gender.”

    “Ia hanya latihan untuk merogol dan (melakukan) rompakan apabila mereka mengambil alih dunia. Apa yang mereka lakukan dengan pisau? Adakah mereka fikir mereka akan bertarung seperti peperangan Kung Fu?

    “Ia juga agak lucu apabila mereka berkawad menggunakan payung ketika hujan. Saya rasakan jurulatih akan mengarahkan semua tentera mereka keluar dengan payung sekiranya mereka bertarung dalam hujan,” tambah Jman, mengulas mengenai gambar menunjukan pelatih sedang berkawad dalam hujan sambil menggunakan payung.

    Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis lokasi sebenar kejadian tidak dinyatakan.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " 'Ia Latihan Untuk Merogol' - Netizen "