• Hujan Lebat Di Sabah, Sarawak Dan Labuan

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula esok sehingga Khamis ini.

    Lokasi dijangka mengalami hujan lebat yang berisiko tinggi menyebabkan banjir adalah Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan (Sabah), Labuan dan Limbang, Sarawak.

    Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), dalam satu kenyataan, sebentar tadi, berkata amaran cuaca buruk kategori kuning dikeluarkan di kawasan berkenaan.

    Sementara itu, Ribut Khanun dikesan pada Latitud 20.5 Utara dan Longitud 109.5 Timur, kira-kira 378 km ke Tenggara, Hanoi, Vietnam dan 1,705 km ke Barat Laut Kudat, Sabah.

    "Ribut Khanun ganas ke arah Barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j).

    "Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 60 kmsj dan laut bergelora dengan ombak sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Sabah (Pedalaman, P.Barat dan Kudat) dan WP Labuan," katanya.

    Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) serta Labuan sehingga esok.

    Menurut kenyataan itu, angin kencang Barat-Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

    Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan angin kencang Barat-Barat Daya berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter, dilaporkan berterusan di perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri) sehingga esok.

    "Ribut petir di perairan Sabah (Pantai Barat & Kudat) dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini. Angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak sehingga 3.5 meter, berbahaya kepada bot-bot kecil," katanya.

    Untuk aktiviti perkapalan, angin kencang Barat-Barat Daya dengan kelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Reef North, Layang-layang, Labuan dan Palawan sehingga esok.

    Di samping, angin kencang Barat-Barat Daya kategori pertama dijangka berlaku di kawasan perairan Condore dan Reef South sehingga esok. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hujan Lebat Di Sabah, Sarawak Dan Labuan "