• Hubungan Malaysia-Singapura Sentiasa Berkembang

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    SINGAPURA – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura yang baharu Datuk Zulkifli Adnan berharap hubungan antara Malaysia dan Singapura sentiasa berkembang maju.

    “Ia perlu sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Kita sentiasa mahu memperbaiki hubungan kita.

    “Kita sentiasa menyedari mesti terdapat cara untuk menambah baik (hubungan),” katanya kepada Bernama.

    Beliau menyerahkan tauliah pelantikannya kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana pada Rabu.

    Beliau menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 17 Ogos.

    Hubungan dengan Singapura ditekankan dalam banyak bidang antaranya ekonomi, sosial, pendidikan selain kebudayaan, katanya dan menambah Pesuruhjaya Tinggi boleh menjadi ‘pintu’ buat Singapura untuk melihat ke dalam Malaysia.

    “Kita tidak boleh hentikannya. Kita tidak boleh berpeluk tubuh,” katanya merujuk kepada mengekalkan hubungan bukan sahaja dengan Singapura tetapi sebarang negara yang Malaysia mempunyai hubungan.

    Mengenai tugas beliau di Singapura, Zulkifli merasa amat bertuah kerana beliau akan dibantu dengan wakil-wakil daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia.

    “Ini akan banyak membantu,” katanya yang sebelum ini menjawat jawatan Duta Malaysia ke Jerman mulai 2015. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hubungan Malaysia-Singapura Sentiasa Berkembang "