• Hubungan Malaysia-Qatar Baik Sejak 43 Tahun

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Hubungan Malaysia dan Qatar terutama dalam bidang ekonomi tidak terjejas walaupun Qatar kini berhadapan dengan krisis di negara Teluk kerana hubungan baik antara dua negara telah lama terjalin sejak 43 tahun lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata Malaysia dikenali sebagai negara yang berdiri atas prinsip kerjasama dengan semua negara dan juga dalam konteks hubungan dunia Islam dengan mengamalkan prinsip wasatiyyah.

    Najib berkata Malaysia memang diketahui mempunyai hubungan istimewa dengan Arab Saudi, yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Jun lepas, dan lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lepas membuahkan keputusan dan hasil membanggakan, namun lawatan negara Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke Malaysia tidak menimbulkan apa-apa masalah.

    Najib yakin kerajaan Arab Saudi memahami pendirian Malaysia.

    “Kita akan terus mengekalkan hubungan (dengan Arab Saudi) pada tahap terbaik. Namun, ini tidak menghalang kita untuk mengadakan hubungan terutama hubungan ekonomi dengan Qatar,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani di Seri Perdana di sini, hari ini.

    Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

    Pada 5 Jun lepas, lima negara iaitu Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Yaman mengumumkan keputusan memutuskan hubungan dengan Qatar atas alasan negara itu menyokong keganasan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hubungan Malaysia-Qatar Baik Sejak 43 Tahun "