• Hospital Tidak Guna Semula Alat Perubatan Pakai Buang

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menafikan laporan yang mendakwa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai buang kononnya kerana kekurangan dana.

    Sebaliknya beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mementingkan aspek keselamatan pesakit dan standard perkhidmatan jagaan kesihatan.

    “Kesemua barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit dengan penyakit bawaan Darah akan dibuang setelah digunakan mengikut tatacara yang ditetapkan.

    “KKM memandang serius dakwaan ini yang kemungkinan telah disiarkan dengan niat untuk mensensasikan perkara ini atas sebab-sebab tertentu. Didapati laporan ini telah memetik sumber yang tidak dinamakan dan melaporkan seolah-olah KKM tidak mempeRdulikan aspek keselamatan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali, namun peranti tersebut perlu menjalani proses semula melalui kaedah pembersihan dan pensterilan sebelum ia boleh digunakan semula untuk beberapa kali.

    Dr Noor Hisham berkata KKM telah menerbitkan garis panduan Polisi dan Prosedur Kawalan Jangkitan berkaitan perkara itu dan ia perlu diguna pakai oleh pengamal kesihatan dalam amalan klinikal mereka termasuk sebahagian besar barang guna habis dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi pesakit kategori lain.

    Beliau menambah amalan itu telah lama dipraktikkan di Malaysia dan ia tiada kaitan dengan aspek kewangan dan peruntukan bajet.

    “Malahan amalan pemprosesan semula adalah juga menjadi satu kebiasaan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia dan di negara maju misalnya Amerika Syarikat, negara Eropah dan negara OECD (Organisasi untuk Kerja Sama dan Pembangunan Ekonomi,” katanya.

    Beliau menjelaskan hasil kajian tinjauan yang dijalankan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan mendapati 37 peratus daripada 40 hospital swasta di Malaysia turut melaksanakan penggunaan semula atau pemprosesan peranti perubatan kegunaan tunggal iaitu sama seperti diamalkan di hospital kerajaan.

    Tegas beliau perkara utama yang harus dititikberatkan dalam amalan itu adalah aspek kawalan jangkitan dan keselamatan pesakit di mana perkara berkenaan tidak boleh dikompromi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hospital Tidak Guna Semula Alat Perubatan Pakai Buang "