• Hospital Khas Bagi Veteran Tentera – Hishammuddin

    Published: Sunday, 22 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) merancang untuk membina sebuah hospital khas bagi veteran tentera di Ipoh, Perak, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

    Beliau berkata pembinaan hospital itu adalah sebagai pengiktirafan kerajaan kepada golongan itu yang telah berkorban dan berjasa kepada negara.

    “Idea ini juga merupakan hasil buah fikiran Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang menginginkan sebuah hospital bagi golongan veteran dibina dan ia telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Ini juga merupakan satu inisiatif khas untuk anggota ATM yang menyentuh aspek kebajikan, kesejahteraan dan kesempurnaan serta kedudukan anggota tentera,” katanya kepada Bernama pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 peringkat Mindef di Wisma Perwira di sini.

    Beliau yang juga Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dalam usaha meningkatkan kemudahan dan menambah jumlah Hospital Angkatan Tentera (HAT) di seluruh negara.

    “Ketika ini kami sudah mempunyai lima buah HAT. Akan tetapi jika HAT tidak dapat dibina dalam tempoh tertentu, kami berusaha mewujudkan poliklinik yang mempunyai pelbagai kemudahan asas seperti keperluan dialisis dan keperluan lain,” kata Hishammuddin.

    Beliau berkata ATM mempunyai kakitangan perubatan yang mencukupi untuk ditempatkan di hospital dan poliklinik yang bakal diwujudkan itu.

    Penubuhan hospital dan poliklinik ini merupakan antara teras kebajikan yang terkandung dalam TN50D di bawah Mindef.

    Pada 13 Okt lepas, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom berkata Mindef akan membina enam poliklinik khas untuk bekas anggota dan anggota ATM yang masih berkhidmat di seluruh negara untuk memastikan kebajikan golongan berkenaan sentiasa terpelihara.

    Beliau berkata keputusan membina poliklinik itu adalah hasil daripada pertemuan bersama 70 anggota Persatuan Veteran ATM sebelum ini yang menekankan isu kebajikan dan kesihatan bekas anggota yang perlu diberi perhatian kerajaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hospital Khas Bagi Veteran Tentera – Hishammuddin "