• Hobi Menternak Empurau Jadi Pendapatan

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    Siapa sangka dengan hanya menjadikan penternakan ikan empurau sebagai hobi, Puri Johan kini sudah memiliki ladang penternakan ikan empurau yang terletak di Kampung Taee, Serian.

    Berkat kecekalan ibu berusia 53 tahun ini, Puri boleh berbangga kerana usahanya 11 tahun lalu berbaloi dan mendapat tempat bukan sahaja untuk pasaran Sarawak tetapi mula berkembang ke Sabah dan Semenanjung Malaysia.

    Jelasnya, dia mula berjinak-jinak dengan penternakan ikan empurau selepas mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Sarawak selepas kegagalan menternak ikan tilapia.


    “Saya memang minat menternak ikan. Pada mulanya, saya menternak ikan tilapia namun disebabkan kurang pengetahuan saya gagal untuk terus mengusahakannya.

    “Selepas mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Sarawak, saya berjinak-jinak dengan penternakan ikan empurau,” katanya.

    Menurutnya, Jabatan Pertanian Sarawak banyak memberi tunjuk ajar kepadanya bermula dari proses awal penternakan sehingga ke pemasaran.


    “Jabatan Pertanian Sarawak membekalkan benih ikan empurau kepada saya untuk diusahakan. Pada mulanya saya sedikit runsing untuk mengusahakannya namun melihat kepada masa depan cerah saya terus mengusahakannya sehingga hari ini,” ujarnya.

    Pada masa akan datang katanya, dia berhasrat untuk menjadikan ikan empurau sebagai identiti utama Sarawak seperti produk terkemuka lain.


    “Pasaran untuk ikan empurau memang ada walaupun harga ketika ini antara RM600 hingga RM2,000 sekilogram,” jelasnya.

    Puri menjelaskan, penternakan ikan empurau sebenarnya tidak memerlukan perbelanjaan besar terutama dari segi makanan selain tidak mudah sensitif kepada persekitaran.-Sarawakiana
  • No Comment to " Hobi Menternak Empurau Jadi Pendapatan "