• ‘Hilang Gigi Demi Negara, Bukan Main Kerana Wang’

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+

    DHAKA: Beginilah harga pengorbanan pemain tonggak utama pasukan hoki negara, Faizal Saari yang terpaksa menerima hakikat pahit apabila kehilangan empat batang gigi depannya.

    Demi perjuangan terhadap skuad Malaysian Tigers yang bergaya mengalahkan antara gergasi dunia, Pakistan 3-2 dalam saingan Super 4, Piala Asia 2017 semalam, beliau cedera akibat terkena hentakan siku pemain lawan.

    “Empat batang gone [hilang] sebab apa, sebab kami main bukan untuk duit… kenangan manis. Sedap juga makan (diterjah) siku,” tulis Faizal menerusi akaun Instagram miliknya yang dipetik media tempatan hari ini.

    Posting terbaharu beliau itu menerima sambutan luar dugaan ramai netizen apabila mendapat lebih 7,000 tanda likes selain hampir 500 komen daripada peminatnya yang memberi kata-kata berbentuk perangsang.

    Pemain negara tersebut malah memuatkan gambarnya yang kelihatan gigi sudah rongak akibat disiku oleh pemain lawan di mulut hingga menyebabkan pendarahan itu menerusi laman media sosial itu malam tadi.

    Faizal kemudian terpaksa menerima rawat kecemasan di luar padang selama hampir 10 minit akibat mulut berdarah, sebelum kembali meneruskan baki aksi perlawanan dalam kejohanan berprestij tersebut.

    Skuad ‘Malaysian Tigers’ yang berada di ranking ke-12 dunia, melakar kejayaan dalam pusingan saingan round robin untuk berdepan India yang kini berada di ranking keenam dunia, pada perlawanan malam Khamis.

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Hilang Gigi Demi Negara, Bukan Main Kerana Wang’ "