• Hilang Dibawa Arus, Datuk Dan Cucu Ditemui Mati

    Published: Wednesday, 11 October 2017
    A- A+


    SIMUNJAN: Mayat seorang datuk bersama cucu lelakinya yang dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus deras di Sungai Batang Sadong Kampung Tegelam, Simunjan, petang semalam dijumpai.

    Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kedua-dua mangsa ditemui masing-masing pada jam 7.15 pagi dan 7.18 pagi.

    "Mangsa yang dikenali sebagai Kalawin Jefferi (cucu), 27, dijumpai pada jam 7:15 pagi tadi di Tanjung Sungkau,Kampung Tegelam.

    “Manakala mayat mangsa kedua iaitu Kajim Aslan (datuk), 77 tahun dijumpai oleh penduduk kampung tersangkut pada tali tongkang yang berlabuh di Wharf Pekan Simunjan pada jam 07.18 pagi tadi,” katanya.

    Difahamkan, dalam kejadian pada 6.30 petang itu, mangsa Kajim ingin mengambil cucunya Kalawin di Kampung Lubok Pungor dengan menggunakan bot untuk menyeberang sungai.

    “Semasa datuknya itu berada di tengah sungai berkenaan dan menghala ke kawasan cucunya menunggu, bot yang dinaiki terlanggar tunggul kayu,” ujarnya.

    Katanya, kejadian tersebut disedari cucunya bersama beberapa rakan yang lain sebelum bergegas terjun ke sungai untuk menyelamatkan warga emas terbabit.

    "Namun, arus sungai yang deras menyebabkan warga emas bersama cucunya terkapai-kapai sebelum hilang dari pandangan dan mereka tidak dapat berenang ke tebing.

    "Rakan lelaki terbabit yang turut cuba membantu, berjaya berenang ke tebing sungai sebelum memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung," jelasnya.

    Kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selajutnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Hilang Dibawa Arus, Datuk Dan Cucu Ditemui Mati "