• Henti Tular Video Anggota Tentera Tunggu Ditendang

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    PORT DICKSON: Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini meminta orang ramai berhenti daripada menularkan video sekumpulan anggota tentera menunggu giliran untuk ditendang di bahagian perut.

    Katanya video itu adalah video lama yang ditularkan semula mungkin bagi mengaitkan dengan kejadian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia )TUDM) meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak Jumaat lepas.

    "Saya kira itu satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya minta hentikan perbuatan itu kerana ia adalah dua entiti yang berbeza.

    "Video itu tiada kaitan kematian dua anggota tentera laut selepas mengikuti sesi latihan fizikal di Sitiawan, Perak pada Jumaat lepas," katanya kepada pemberita selepas majlis pembubaran dan penganugerahan pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) Pasukan Interim PBB (Malbatt) 850-4 di sini.

    Pada masa sama beliau turut meminta orang ramai menghormati pendekatan latihan sedia ada yang bertujuan menghasilkan anggota tentera dengan keampuhan jasmani dan rohani, namun mengakui ada perkara yang perlu ditambah baik.

    "Yang ditular itu mungkin ada yang tidak wajar berlaku di situ," katanya.

    Video yang memaparkan latihan pasukan khusus itu pernah tular enam tahun lepas dan kembali mendapat perhatian masyarakat sejak dua tiga hari lalu.

    Pada majlis hari ini 850 pegawai dan anggota pasukan Malbatt 850-4 yang diketuai Kolonel Riezal Arif Ismail menerima pingat PNBB.Mereka merangkumi 76 pegawai dan 774 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia termasuk tiga pegawai dan 24 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan.

    Mereka diaturgerak ke Lubnan secara berperingkat mulai 14 September 2016 dan berkhidmat selama 12 bulan di bawah naungan panji PBB sehingga 21 September lalu.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Henti Tular Video Anggota Tentera Tunggu Ditendang "