• Hazama Bertatu Bukan Sekadar Suka-Suka

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: Penyanyi Hazama Azmi, 33, menyifatkan netizen di negara ini terlalu mudah memberikan hukuman sebelum memahami sesuatu isu yang ditimbulkan secara lebih mendalam.

    Tampil dengan imej bertatu ala Bob Marley dalam klip video lagu nyanyiannya, Aku Bukan Dewa, pendekatan tersebut memang disengajakan demi menyampaikan mesej tersirat di sebalik tatu tersebut.

    “Konsep itu adalah pilihan saya sendiri kerana dengan cara tersebut, mudah untuk menarik perhatian umum. Lukisan di badan seumpama tatu itu simbolik kepada dosa-dosa yang telah dilakukan.

    “Sebagai manusia biasa, tiada siapa yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Jadi, jejaka bertatu itu menjadi subjek utama menceritakan keseluruhan jalan cerita video berkenaan,” katanya memberi penjelasan.

    Mengulas lanjut, lagu ciptaan Taja manakala lirik tulisan Ad Samad itu menggambarkan dirinya sebagai seorang artis yang telah bertapak lebih sedekad di dalam industri.

    “Lagu ini sangat dekat dengan diri saya kerana mengisahkan tentang semangat juang saya dalam industri muzik ini. Dari hari pertama saya bertapak dalam industri, pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi sebelum saya menjadi seperti hari ini,” tambahnya.

    Malah menurut Hazama, album yang bakal dikeluarkan kelak kebanyakannya memuatkan lagu-lagu berkisar tentang hidupnya termasuk lagu hit Aku Yang Sebenar.

    Katanya, projek pembikinan album tersebut telah tertangguh selama dua tahun dan tiba masa untuk mempercepatkan penghasilannya.

    “Album itu memuatkan sebanyak sembilan buah lagu dan dijangka akan dilancarkan pada awal 2018. Kali terakhir saya mengeluarkan album adalah pada 2013 iaitu Penglipur Lara,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE


    Subjects:

  • No Comment to " Hazama Bertatu Bukan Sekadar Suka-Suka "