• Harimau Belang Berkeliaran Sebenarnya Di Indonesia

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menyangkal mesej yang tular kononnya pejabat cawangan Kota Tinggi mengeluarkan amaran berhubung dua harimau belang berkeliaran di sekitar Sungai Tiram dan Sungai Dusun, Ulu Tiram, Johor.

    Pengarahnya, Dr Jamalun Nasir Ibrahim berkata, mesej dan gambar yang tular di WhatApps itu tidak benar sama sekali kerana kejadian itu tidak pernah berlaku di Johor, sebaliknya ia adalah kejadian di Indonesia.

    “Ini perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, tolong jangan permainkan isu keselamatan hingga boleh membawa panik kepada orang ramai.

    “Sejak ia tular, kami menerima panggilan telefon serta emel bertanyakan perkara itu dan terpaksa menjelaskan keadaan sebenar, kami dapati ada pekerja kelapa sawit tidak mahu ke ladang kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.

    "Ia menimbulkan panik dan mengganggu ketenteraman orang ramai," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut Jamalun, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan mendapatkan maklumat daripada kakitangan agensi kerajaan lain bagi memastikan keselamatan semua pihak daripada ancaman haiwan liar.

    Katanya, pada masa sama, tiada masalah seumpama itu berlaku di Johor dan harimau yang bebas sekalipun hanya berada di dalam hutan simpan dan bukannya di ladang kelapa sawit atau kampung.

    “Johor tidak berdepan masalah gangguan harimau, hanya di Kota Tinggi, Kluang dan Mersing berdepan masalah gajah liar yang tersesat ke kawasan kampung atau kebun penduduk.

    “Semua masalah itu ditangani dengan selamat menggunakan perkhidmatan pakar, jadi jangan risau kerana kami sentiasa berusaha memastikan keselamatan orang ramai”katanya.

    Menurutnya, perbuatan itu perlu dielakan bagi mengelak masyarakat tidak percaya sekiranya amaran sebenar dikeluarkan kerana berpendapat ia satu lagi penipuan.

    Dalam satu mesej mendakwa dikeluarkan Jabatan Perhilitan dan Hidupan Liar Kota Tinggi yang tular di WhatApps, semalam, tertera gambar dua harimau di dalam ladang kelapa sawit dengan keterangan 'SEKITAR SG TIRAM KE SG DUSUN DILAPOR ADA 2 EKOR HARIMAU BERKELIARAN.

    MAKLUMKAN KEPADA PEMANCING, KANAK2, DAN MEREKA YG SERING MENGUNA LALUAN TERSEBUT. PENUNGGANG MOTOSIKAL PERLU LEBIH BERHATI-HATI...Harap Maklum.

    Bagaimanapun, gambar itu sebenarnya diambil dari sebuah portal berita Indonesia yang melaporkan kejadian itu berlaku di Pekan Baru, Indonesia pada 24 Mei lalu.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Harimau Belang Berkeliaran Sebenarnya Di Indonesia "