• Harga Minyak Secara Mingguan Bukti Kerajaan Telus

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    MEKANISME penetapan harga minyak secara mingguan untungkan pengguna, lebih stabil.

    Mekanisme penetapan harga minyak secara mingguan sebenarnya memberi keuntungan lebih kepada pengguna kerana ia adalah kaedah terbaik diperkenalkan kerajaan malah ia lebih telus.

    Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Rofaie Md Hamdan berkongsi secara lebih terperinci mekanisme harga minyak mingguan yang diperkenalkan kerajaan bermula Mac lalu menerusi soal jawab bersama Sinar Harian baru-baru ini.

    Sinar Harian mengambil kesempatan bertemu Rofaie ketika beliau turun padang bertemu golongan susah, warga emas sekitar Kampung Lebak di sini bagi menyampaikan sumbangan kepada mereka baru-baru ini.

    Kenapa kerajaan menggunakan mekanisme penetapan harga minyak di pam secara mingguan?

    Pengguna seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana mekanisme harga minyak secara mingguan ini lebih banyak memberi keuntungan kepada pengguna kerana harga minyak di pam lebih stabil dan mengikut harga sebenar di pasaran.

    Sebelum itu untuk pengetahuan semua, turun naik harga minyak di negara ini bergantung kepada dua perkara iaitu harga minyak mentah dunia dan juga kadar tukaran mata wang kita.

    Sebelum ini kita buat secara bulanan, harga yang pengusaha stesen minyak jual di pam adalah harga purata bulan lepas. Jadi ini tidak sesuai dan kemudian kerajaan mengubah mekanisme bulan ke minggu kerana ia akan dapat harga purata minggu yang lepas dengan lebih tepat. Maksudnya harga minyak yang dijual di pam hari ini adalah harga purata minyak minggu sebelumnya.

    Ini seterusnya akan menyebabkan harga di pam lebih stabil, tidak ada kenaikan melampau dan jika pengusaha buat kajian sejak mekanisme ini ditetapkan kenaikan purata paling tinggi hanyalah lingkungan bawah 10 sen sahaja.

    Jika pengguna untung ini bermaksud pengusaha pam minyak rugi?

    Jika berlaku trend penurunan pengusaha stesen minyak akan mengalami kerugian dari segi stok, pengusaha beli semalam tinggi tetapi jual esok pada harga rendah. Bila harga naik pula pengusaha akan untung tetapi harus diingat jika harga naik pengusaha juga harus menambah pusingan modal untuk membeli minyak baharu pada harga lebih tinggi. Modal pusingan kena tambah jika trend menaik.

    Dalam keadaan perniagaan sekarang, apa dilema yang dihadapi pengusaha?

    Pengusaha mengalami banyak kerugian disebabkan faktor kos semasa berbanding sembilan tahun dulu. Kenapa sembilan tahun dahulu ialah sebab itu adalah kali terakhir kajian semula komisen kerajaan kepada pengusaha pam minyak dijalankan.

    Pengusaha kini terpaksa menampung kos utiliti, caj kad kredit dan gaji minimum tetapi pada margin keuntungan yang sama seperti sembilan tahun dahulu.

    Berapa komisen semasa daripada kerajaan kepada stesen minyak ketika ini?

    Kerajaan bayar 12 sen untuk setiap liter petrol dan tujuh sen untuk diesel. Tetapi jumlah ini belum ditolak yuran lesen operasi (OLF) daripada syarikat minyak antara satu hingga empat sen seliter bergantung kepada jenama minyak yang terlibat.

    Maknanya pengusaha stesen minyak akan dapat keuntungan kasar tujuh hingga 11 sen seliter yang belum ditolak kos operasi dan lain-lain kos.

    Selain itu, pengusaha juga tanggung kos pengewapan minyak atau istilah “minyak hilang” dari tangki yang biasanya susut antara 0.1 hingga 0.5 peratus secara purata.

    Untuk mengatasi cabaran ini apa yang pengusaha stesen minyak lakukan?

    Kita sudah beberapa kali memohon dengan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membuat kajian semula komisen kepada stesen minyak selepas kali terakhir dibuat sembilan tahun dulu. Sebenarnya sudah ada beberapa stesen minyak yang menutup operasinya disebabkan kos operasi sekarang terlalu tinggi. Kalau 15 tahun dahulu gaji pekerja hanya RM300 tetapi sekarang gaji minima RM1,000. Itu belum campur insentif lain yang pekerja minta. Memang ada rungutan dari beberapa stesen dan mereka mula menutup operasi khususnya yang kadar jualannya lebih rendah seperti di luar bandar.

    Ini nanti akhirnya akan menyusahkan pengguna juga, stesen minyak sudah makin berkurangan.

    Kerajaan kena ambil langkah berbincang balik dengan pengusaha melalui persatuan supaya dapat situasi menang menang. Ini kerana kebanyakan pengusaha stesen minyak ini adalah Bumiputera.

    Adakah pengguna sebenarnya beruntung?

    Sudah tentu, penggunaan kad kredit kad debit di pam minyak oleh pengguna juga tidak dikenakan caj kepada mereka sebaliknya pengusaha pam yang kena caj 1 peratus. Setiap kali berlaku kenaikan pengusaha akan menanggung lebih kos kerana satu peratus itu dikira dari harga minyak di pam sedangkan komisen yang pengusaha dapat berdasarkan liter.

    Kerajaan juga sangat telus dengan pengguna kerana secara telus menunjukkan formula kiraan harga minyak di pam iaitu berdasarkan harga APM (Automated Price Mechanism) Pengguna tidak boleh cakap kerajaan tipu sebab ia jelas boleh dibuat kiraan sendiri. Apa yang penting pengguna kena terima hakikat bahawa subsidi minyak ditarik balik, kemudian barulah pengguna faham dan dapat terima mekanisme yang ditetapkan kerajaan ini.

    Subsidi minyak ditarik sebab sebelum ini semua orang dapat subsidi minyak tidak kira kaya atau miskin, sebab itu kerajaan tarik balik subsidi. Jadi subsidi minyak diberi kepada kumpulan sasar yang lebih tepat melalui BR1M dan sebagainya.

    Adakah pengusaha pam minyak ada buat dialog atau perbincangan dengan pengguna sebelum ini?

    Ya. kita mempunyai hubungan baik dengan persatuan-persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), kita kerap bekerjasama dengan mereka. Isu-isu yang berkaitan dengan pengguna memang kami kerap bincang bersama. Begitu juga hubungan kami dengan KPDNKK.

    Apakah kesimpulan yang boleh dikongsi?

    Pengguna seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan mekanisme penetapan harga minyak terbaik. Kerajaan tiada kuasa menurunkan harga minyak, ia di luar kawalan kerajaan. Turun naik minyak bergantung kepada harga minyak mentah dunia dan juga kadar tukaran mata wang kita.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Harga Minyak Secara Mingguan Bukti Kerajaan Telus "