• Hapus GST Satu Langkah Ke Belakang - Najib

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Langkah menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) seperti yang dicadangkan pembangkang adalah langkah ke belakang yang boleh membawa kepada peningkatan cukai pendapatan dan korporat, kata Datuk Seri Najib Razak.

    "GST adalah lebih saksama dan progresif. Semakin banyak yang anda gunakan, semakin banyak yang anda bayar. Kerana GST, kami dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan peribadi," kata Perdana Menteri.

    Najib yang juga Menteri Kewangan mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menghapuskan GST dan mengembalikan semula SST pada sesi taklimat kepada pengarang media di sini, hari ini.

    Tahun lalu, Malaysia mengutip RM41 bilion daripada GST.

    Najib berkata, ramai orang sudah lupa mengenai yang dinikmati daripada pelaksanaan GST yang lebih telus menerusi pengurangan besar dalam cukai korporat dan pendapatan.

    "Jika kita kembali semula kepada SST pada kadar sedia ada, kita hanya boleh mengutip RM20 bilion. Terdapat perbezaan RM20 bilion. Jadi bagaimana anda hendak menampung kerugian RM20 bilion?

    "Jika berpeluang untuk kembali semula kepada SST, cukai pendapatan individu akan meningkat semula. Adakah anda mahu menghadapinya?"

    Perdana Menteri berkata GST membantu mengurangkan ekonomi gelap dan menjadikannya lebih sukar bagi mereka yang hendak mengelakkan diri dari membayar cukai.

    Sebagai tambahan, kutipan cukai yang meningkat akan memberi manfaat kepada rakyat menerusi pembahagian pelbagai perkhidmatan pada kadar mampu milik.

    "Dengan pelbagai perkara yang dilakukan, ada subsidi tidak langsung yang orang tidak nampak. Tarif elektrik di negara ini adalah satu daripada yang terendah di dunia berikutan jumlah subsidi gas yang besar.

    "Kerajaan tidak membenarkan harga gas meningkat mengikut harga pasaran. Ia meningkat sedikit demi sedikit, masih jauh di bawah harga pasaran," katanya.

    Najib berkata Malaysia juga telah mendapat pujian agensi penarafan antarabangsa kerana memperkenalkan GST dan merasionalisasikan subsidi.

    "Bayangkan jika penarafan kita diturunkan, kos pinjaman akan meningkat. Ini akan memberi kesan kepada pinjaman kereta, pinjaman perumahan dan segala-galanya akan naik.

    "Sebaik saja sesebuah negara mendapat penarafan yang menurun, impaknya akan menjadi amat negatif dan akan dirasai oleh rakyat.

    "Jadi, jangan ingat semua penarafan ini tidak membimbangkan rakyat. Ia memberi kesan kepada rakyat. Itulah sebabnya kami amat prihatin," katanya.

    -Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Hapus GST Satu Langkah Ke Belakang - Najib "