• Hanya Keajaiban Bawa Syria Ke Piala Dunia

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+

    Syria akan bergantung kepada gaya permainan mereka yang penuh semangat melawan untuk mengekalkan “keajaiban” Piala Dunia mereka berdepan Australia Selasa ini ketika Socceroos berharap kepada sokongan padu tuan rumah.

    Syria bertuah apabila berjaya seri 1-1 pada pusingan pertama playoff Asia di Malaysia minggu lalu hasil penalti kontroversi lewat yang menyebabkan Australia berang.

    Namun ia sudah cukup untuk mengekalkan kempen kelayakan yang menakjubkan yang menafikan perang saudara kejam di Syria hasil pertahanan kental diterapkan jurulatih Ayman al-Hakim (gambar).

    Kini semuanya bergantung kepada 90 minit di Stadium ANZ dekat Sydney dengan pemenang akan melalui dua perlawanan timbal balas dengan pasukan tangga keempat CONCACAF yang ketika ini diisi Panama.

    “Perlawanan kami menentang Australia di Sydney sangat sukar, walaupun kami kehilangan lima pemain (kerana kecederaan dan penggantungan), kami sudah biasa bermain di luar negara kami,” kata al-Hakim.

    “Saya katakan kepada penyokong kami: apa yang kami capai setakat ini bukan hanya pencapaian, tetapi keajaiban, dan kami akan melakukan sedaya upaya bagi meneruskan pengembaraan kami bagi mencapai impian itu.”

    Penyerang Omar al-Soma, yang hanya baru-baru ini kembali ke dalam pasukan dipercayai akibat masalah politik, berkata skuad itu yakin dengan diri sendiri. 

    “Keputusan seri (di Malaysia) memang adil... kunci utama untuk perlawanan kedua ialah semangat melawan, keazaman dan sepakan bola mati,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Hanya Keajaiban Bawa Syria Ke Piala Dunia "