• Hamilton mula tabik Verstappen

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    MEXICO CITY: Lewis Hamilton menilai Max Verstappen sebagai motivasi tambahan selepas mengiktiraf pelumba Red Bull itu antara ancaman utamanya untuk menjulang kejuaraan dunia kelima, musim depan.

    Pemandu pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu yang menjadi pelumba F1 pertama Britain memenangi empat kejuaraan dunia turut mengakui dia adalah peminat pemandu muda Belanda itu.

    Dan dia menjangkakan persaingan yang hebat daripada Red Bull yang melakukan kebangkitan sebagai ancaman selain Ferrari.

    Verstappen yang juga pemenang termuda dalam sejarah F1 meraihkan kemenangan ketiga kariernya dan kedua musim ini di GP Mexico di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez, awal pagi tadi.

    "Saya mahu menjadi lebih baik pada tahun depan, cabarannya menjadi lebih besar daripada Red Bull dan Ferrari," kata Hamilton yang masih diselubungi kegembiraan selepas menamatkan perlumbaan di tangga kesembilan sekali gus mengesahkan kejuaraan.

    "Formula Satu tidak tidur, ia sentiasa berdiri tegak. Dan sentiasa akan ada seseorang menunggu untuk mengambil posisi saya.

    "Saya melihat Max duduk di sini menunggu untuk mengambilnya. Saya perlu meningkatkan lagi tahap permainan saya dalam usaha untuk kekal di hadapannya.

    "Dan ia memberikan motivasi kepada saya. Saya sudah pun memiliki motivasi bagi tahun depan."

    Hamilton memuji Verstappen sebagai "Pemandu yang luar biasa" dan meminati strategi perlumbaan yang ditampilkan pelumba berusia 20 tahun itu di Mexico.

    "Sudah pasti Max mempunyai potensi untuk menjadi juara dunia dan dia menjadi lebih bagus dengan usianya," kata Hamilton.

    "Dia memiliki bakat yang mentah ketika ini dan perjalanannya masih panjang tetapi dengan kemenangan ini, pengalaman yang dia miliki menambah potensi besar yang dimilikinya."

    Verstappen baru menandatangani kontrak baharu dengan Red Bull yang mengekalkannya bersama pasukan itu sehingga 2020, kontrak sama dimiliki Sebastian Vettel bersama Ferrari. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Hamilton mula tabik Verstappen "