• Hamilton Menang Di AS, Hampiri Kejuaraan

    Published: Monday, 23 October 2017
    A- A+

    AUSTIN, Amerika Syarikat: Lewis Hamilton menghampiri gelaran dunia keempatnya apabila menjuarai perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi, mengatasi pencabar terdekat Sebastian Vettel.

    Pelumba Britain berusia 32 tahun itu yang memulakan perlumbaan di petak pertama ke-72 kariernya bagaimanapun terpaksa bangkit selepas kehilangan kelebihan di awal perlumbaan sebelum menjulang jentera Mercedes miliknya untuk kejuaraan kesembilan tahun ini.

    Ia juga kemenangan kelimanya di Texas dan ke-62 dalam kariernya.

    Juara dunia empat kali, Vettel terpaksa akur menamatkan saingan di tangga kedua untuk Ferrari dan ketinggalan 66 mata di belakang Hamilton dalam pemburuan kejuaraan.

    Jika Hamilton memenangi atau menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik di GP Mexico minggu ini, dia akan dinobatkan juara dunia.

    Kemenangan Hamilton ditambah dengan kejayaan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas yang menamatkan perlumbaan di tangga kelima turut mengesahkan kejuaraan dunia kategori pengeluar buat Mercedes bagi musim 2017 dan keempat berturut-turut.

    "Hari yang begitu indah," kata Hamilton ketika ditemuramah di podium oleh jaguh Olimpik, Usain Bolt. "Saya menggemari litar ini dan saya fikir kini ia adalah kesukaan saya."

    Vettel berkata: "Saya mencari permulaan yang baik tetapi kami perlu menerima yang kami tidak dapat melakukannya dengan kelajuan seperti itu. Mereka lebih pantas berbanding kami jadi tahniah kepada Lewis."

    Pelumba Red Bull dan Belanda, Max Verstappen melepasi garisan penamat di tangga ketiga selepas pergerakan kontroversi yang dilakukannya pada selekoh terakhir untuk mengatasi seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen.

    Pergerakan itu dengan pantas disiasat dan Verstappen yang ketika itu sudah berada di bilik menunggu bagi mendaki podium dikenakan penalti lima saat yang menyaksikan kedudukan tempat ketiganya diberikan kepada Raikkonen.

    Ia bermakna Verstappen terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tangga keempat diikuti Bottas, pelumba Perancis Esteban Ocon dari Force India dan pelumba Sepanyol, Carlos Sainz di tangga ketujuh. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Hamilton Menang Di AS, Hampiri Kejuaraan "