• Hamidah Lapor, Minta SPRM Siasat Dakwaan Syed Saddiq

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    IPOH: Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, meminta siasatan dibuat terhadap kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman.

    Hamidah berkata, laporan itu dibuat berikutan kenyataan dikeluarkan Sayed Saddiq menerusi laman facebooknya semalam, turut mengaitkan beliau secara tidak langsung dalam isu sogokan berkenaan wang tunai sebanyak RM5 juta, selain dakwaan ditawarkan rasuah meninggalkan parti.

    "Laporan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan SPRM. Saya tak boleh mendedahkan secara terperinci laporan yang dibuat kepada SPRM ini kerana bimbang akan mengganggu siasatan, cuma apa yang boleh saya perkatakan ia adalah isu berkaitan yang dilemparkan Syed Saddiq serta beberapa isu lain yang berkaitan.

    "Dengan siasatan itu, diharapkan ia akan dapat menegakkan keadilan dan membongkar kebenaran atas semua dakwaan yang dinyatakan Syed Saddiq," katanya yang ditemui sebelum membuat laporan berkenaan di perkarangan pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

    Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di laman facebooknya semalam, Syed Saddiq turut mengaitkan nama Hamidah termasuk Anina Saadudin, yang dibeli individu tertentu menerusi satu kumpulan yang diistilahkannya sebagai "rangkaian sistematik dedak".

    Syed Saddiq mendakwa, rangkaian itu cuba mengumpannya dengan wang berjumlah RM5 juta yang akan digunakan untuk menyambung pengajiannya di peringkat sarjana di Universiti Oxford di London.

    Syed Saddiq turut mendakwa, individu terbabit yang juga adalah orang kanan kepada pemimpin tertinggi negara turut menawarkan kepadanya geran berjumlah jutaan ringgit untuk membuka sekolah debat di seluruh Malaysia.

    Dalam pada itu, Hamidah berkata, beliau tidak faham mengapa Syed Saddiq menjadikan beliau sasaran dalam banyak hal berkaitan PPBM.

    "Saya tidak tahu apakah yang berlaku dan adakah apa yang dilakukannya atas arahan pihak tertentu. Satu ketika dulu dia pernah kata saya agen UMNO, kata saya hipokrit dan pengkhianat dan halau saya dengan perkataan `berambus'

    "Saya harus bersihkan nama saya dan tidak hanya perlu berpandu dengan cakap dia seorang sahaja jadi saya ingin buat laporan supaya kebenaran terserlah," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hamidah Lapor, Minta SPRM Siasat Dakwaan Syed Saddiq "