• Hairan Syed Saddiq Tidak Lapor Polis Tawaran RM5 Juta

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar membuat laporan polis terhadap individu yang beliau dakwa menawarkan wang RM5 juta kepadanya.

    Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Syed Saddiq sepatutnya mendedahkan nama individu tersebut dan membuat laporan kepada pihak berkuasa, bukan mengadakan sidang media.

    Katanya, Pemuda UMNO turut hairan dengan tindakan Syed Saddiq mengadakan sidang media semata-mata hendak memberitahu beliau menolak tawaran menyambung pelajaran ke Oxford kerana memilih politik.

    “Saya ingin beritahu bahawa Syed Saddiq ini bukan individu penting, kalau beliau tak mahu sambung belajar, berikan tawaran tersebut kepada orang lain yang lebih layak dan memerlukan.

    “Beliau baharu setahun jagung politik tetapi sudah menampilkan gaya seorang yang bodoh sombong dan tidak tahu adab apabila menyifatkan pemimpin UMNO sebagai ‘jari tengah’ atau middle finger.

    “Selain popular kerana penganjuran Forum Nothing To Hide 2.0 yang kecoh dan gagal baru-baru ini, beliau tiada apa-apa pencapaian membanggakan dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Kekecohan dalam forum Nothing to Hide 2.0 bermula apabila seorang peserta dipercayai ahli PPBM bertanya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai peristiwa Mamali yang meragut banyak nyawa orang awam.

    Mahathir yang juga Pengerusi PPBM dalam jawapannya mempertahankan tindakan pihak berkuasa dibawah pentadbirannya selaku Perdana Menteri dalam insiden berdarah tersebut.

    Berdasarkan rakaman video yang tersebar, seorang lelaki dipercayai yang marah soalan itu ditujukan kepada Mahathir melemparkan kerusi kearah ahli PPBM yang bertanyakan soalan tersebut.

    Nazir Hussin berkata, Pemuda UMNO bagaimanapun yakin Syed Saddiq cuma beretorik di sebalik dakwaannya itu umpama baling batu sembunyi tangan.

    Kata beliau, dakwaan Syed Saddiq kononnya individu tersebut turut menawarkan peruntukan membuka sekolah debat di sekolah debat di seluruh negara jika menurut kemahuan mereka sangat meragukan.

    “Buat laporan polis, dedahkan nama jika dakwaannya itu betul bukan membiarkan rakyat membuat spekulasi liar dan melulu yang akhirnya menjadi fitnah.

    “Pihak polis turut digesa membuka kertas siasatan terhadap dakwaan Syed Saddiq itu yang sengaja menimbulkan konspirasi baharu dalam politik negara,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Hairan Syed Saddiq Tidak Lapor Polis Tawaran RM5 Juta "