• Hafizh Optimis Penuhi Sasaran

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan tidak tertekan dengan sasaran tinggi yang diletakkan pasukan baharu, PETRONAS Sprinta Racing kepadanya, musim depan.

    Menurut Hafizh, secara peribadi dia berpendapat mampu memenuhi sasaran yang ditetapkan iaitu menamatkan saingan di kelompok lima pelumba terbaik.

    "Saya rasa ia tidaklah begitu berat jika melihat kepada prestasi saya sepanjang tahun lalu dan musim ini.

    "Tahun lalu saya mampu berikan saingan yang baik tetapi hanya gagal menaiki podium. Tahun ini pula saya bergelut pada awal sehingga pertengahan musim. Tapi akhirnya saya dapat menaiki podium sebanyak dua kali.

    "Jika dibandingkan dengan tahun lalu, sebenarnya tidak terlalu banyak perbezaan mata. Selepas dapat meraih dua podium, saya harap akan cuba lagi untuk menaiki podium minggu ini," katanya yang ketika ini menduduki tangga ke-11 kedudukan pelumba Moto2 dengan mengumpul 86 mata.

    Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali ketika majlis pengumuman pasukan baharu Hafizh, PETRONAS Spinta Racing hasil kerjasama syarikat gergasi itu bersama SIC hari ini berkata, Hafizh diletakkan sasaran tinggi untuk menamatkan saingan musim depan di kelompok lima pelumba terbaik.

    Sekiranya dia berjaya memenuhi sasaran itu, maka peluangnya untuk muncul pelumba pertama negara beraksi pada kelas paling utama, MotoGP pada 2019 akan lebih cerah.

    Mengulas perasaannya yang bakal meninggalkan pasukan ketika ini, PETRONAS Raceline Malaysia selepas 10 tahun bersama, Hafizh enggan mengulas lanjut tetapi tetap berterima kasih kepada pasukan lamanya itu yang banyak membina kariernya.

    "Saya hanya mahukan pengalaman baharu untuk melihat sejauh mana kemampuan saya sebab sudah begitu lama dengan Raceline.

    "Apapun terima kasih kepada Raceline yang sebelum ini banyak membantu saya," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hafizh Optimis Penuhi Sasaran "