• Gubal Undang-Undang Rampas Kenderaan Terbiar - Wan Junaidi

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang meneliti penggubalan undang-undang khusus untuk merampas dan melupuskan kenderaan terbiar.

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ketika ini, terdapat kira-kira lapan juta kenderaan rosak dan terbiar di tepi jalan, kawasan tempat letak kenderaan atau lokasi lain.

    "Ia berikutan tiada undang-undang khusus bagi menangani perkara itu, kita tiada undang-undang, dasar atau peraturan untuk ambil kenderaan dalam keadaan itu," katanya.

    Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Wan Junaidi berkata, undang-undang itu antara yang diteliti kementeriannya, selain berkaitan dasar air negara serta e-waste.

    Kementerian juga, katanya, mengkaji bagi meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk mendakwa pihak terbabit kes pemerdagangan hidupan liar secara haram dalam talian.

    "Kesulitan yang kita hadapi ketika ini adalah semua bukti pemerdagangan hidupan liar secara dalam talian belum diterima pakai oleh mahkamah untuk pendakwaan.

    "Kita sedang berbincang dengan Peguam Negara untuk membolehkan maklumat berhubung kes sedemikian dijadikan bukti di mahkamah.

    "Buat masa ini, kementerian masih mengkaji untuk meminda secara keseluruhan undang-undang berkaitan, termasuk hukuman berat seperti rampas aset pihak yang terbabit dalam jenayah itu," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Gubal Undang-Undang Rampas Kenderaan Terbiar - Wan Junaidi "