• GST selamatkan negara daripada kemelesetan

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja berjaya mengelakkan Malaysia mengalami kemelesetan akibat kejatuhan harga minyak dunia pada tahun 2014, tetapi menjadikan ekonomi negara terus berkembang.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ramai pihak termasuk pembangkang yang menjadikan GST sebagai salah satu sumber serangan utama terhadap kerajaan mendakwa ia adalah cukai baharu dan dilaksanakan semata-mata untuk meraih lebih banyak pendapatan kepada kerajaan.

    Sebenarnya, beliau berkata, GST adalah pengganti kepada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak cekap, rumit dan tidak berfungsi dengan baik, sama ada untuk pengguna atau perniagaan.

    "Seandainya niat kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan, adalah lebih mudah jika kita meningkatkan cukai korporat, cukai pendapatan dan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada.

    "Sebaliknya, sejak saya menjadi Menteri Kewangan pada 2008, kita telah mengurangkan cukai korporat daripada 27 peratus hingga 24 peratus. Kadar cukai pendapatan peribadi juga telah turun, daripada 28 peratus pada tahun 2008 kepada 24 peratus sekarang untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

    "(Malah) Kita juga menaikkan nilai ambang cukai pendapatan supaya mereka yang pendapatannya adalah RM4,000 atau kurang, tidak lagi perlu membayar sebarang cukai pendapatan.

    "Ini bukan seperti dulu di mana mereka yang mempunyai gaji RM2,000 tetap dikenakan cukai," katanya dalam entri bertajuk 'Ke Arah Malaysia Yang Lebih Kuat dan Berdaya Saing' menerusi blog najibrazak.com, hari ini.

    Mengulas lanjut, Najib berkata, GST tidak sepatutnya dianggap sebagai cukai tambahan baharu tetapi sebahagian daripada pembaharuan cukai menyeluruh yang direka untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, dapat mengawasi ekonomi hitam dan haram serta mengurangkan tindakan mengelak cukai dan meluaskan asas percukaian negara.

    Beliau berkata, banyak negara lain seperti India dan Mesir turut ikut jejak Malaysia sejak pelaksanaan GST pada tahun 2015 manakala semua Negara Kerjasama Teluk - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu - akan melaksanakan GST mereka pada 1 Januari tahun depan.

    "Malah, perancangan ekonomi kita telah membolehkan kadar GST Malaysia hanya enam peratus, jauh lebih rendah daripada negara-negara lain yang tidak berkongsi asas ekonomi yang kukuh seperti kita.

    "Kebanyakan negara - lebih daripada 160 di seluruh dunia - telah melaksanakan GST kerana mereka tahu ia diperlukan untuk menjadikan negara mereka lebih kuat dan lebih berdaya saing.

    "Anehnya, pihak pembangkang mendakwa tidak memahami perkara ini. Mereka mahu memansuhkan GST, tetapi tanpa cadangan bagaimana mereka akan menggantikan RM41 bilion yang dijana oleh GST pada tahun lalu," katanya.

    Pada masa sama Najib berkata, kerajaan sedar bahawa isu kos sara hidup memberi kesan paling tinggi kepada mereka yang berpendapatan rendah dan inilah sebabnya kerajaan mengagihkan RM5.36 bilion dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 7.28 juta isi rumah pada tahun 2016 dan juga memperkenalkan gaji minimum.

    "Seorang bekas pemimpin baru-baru ini menyifatkan BR1M sebagai penyalahgunaan dana kerajaan, tetapi dia seharusnya cuba nyatakan sebegitu kepada penerima.

    "Ia sebenarnya amat kejam untuk sesiapa sahaja dalam pembangkang untuk bercakap mengenai menghapuskan satu program yang direka khusus untuk membantu mengurangkan beban berjuta-juta rakyat Malaysia.

    "Semua yang kita lakukan adalah untuk kebaikan rakyat dan ini termasuk melaksanakan banyak keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan walaupun tidak selalunya popular.

    "Kita perlu merasionalisasi subsidi yang tidak tersasar. Subsidi pukal pada pelbagai barangan seperti petrol, yang telah dimulakan pada zaman seorang bekas pemimpin terdahulu, telah melonjak menjadi kadar yang tidak mapan. Pada 2012 misalnya, subsidi bahan api sahaja mencapai RM25 bilion dan menelan 13.6 peratus daripada jumlah belanjawan negara.

    "Kebanyakan yang mendapat faedah adalah golongan yang berada dan bukan mereka yang betul-betul memerlukannya. Oleh itu, apa yang telah kita laksanakan adalah menyalurkan dana kepada golongan B40 dengan cara yang disasarkan, yang kita percaya adalah cara yang lebih bijak dan beretika untuk mengagihkan wang rakyat," katanya.

    Najib berkata, kerajaan juga perlu mengurangkan kebergantungan pendapatannya daripada minyak dan gas yang menyumbang sebanyak 41 peratus kepada pendapatan kerajaan pada tahun 2009.

    "Ini menyebabkan kita terdedah dan terlalu bergantung kepada sumber yang tidak boleh diperbaharui, yang masa depan jangka panjangnya juga diragui ketika banyak negara dan industri telah beralih kepada penyelesaian tenaga hijau.

    "Kita berjaya dalam hal ini dan minyak dan gas kini hanya membekalkan 14.6 peratus daripada hasil kerajaan pada tahun ini. Ternyata kita bernasib baik dengan keputusan awal yang dilaksanakan dengan berlakunya kemelesetan harga minyak dunia pada tahun 2014.

    "Kali terakhir harga global bagi eksport komoditi utama Malaysia jatuh adalah pada tahun 1985. Pada masa itu kita tidak bersedia dan ekonomi kita mengalami kemelesetan teruk. Bagaimanapun, kali ini kita lebih bersedia berikutan ketegasan kerajaan untuk memastikan daya tahan asas ekonomi kita," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " GST selamatkan negara daripada kemelesetan "