• Graduan Muzik Berhasrat Buat Kajian Gitar Klasik

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Berikutan minat mendalam terhadap gitar klasik, seorang graduan dalam bidang muzik berhasrat menjalankan penyelidikan khusus mengenai alat muzik berkenaan.

    Mohamed Shabyl Mohamed Ajmal, 24, seorang pemain gitar klasik, berkata menerusi alatan muzik itu, beliau berjaya membina keyakinan untuk belajar bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

    “Saya tidak mempunyai sebarang asas dalam bidang muzik apabila saya memulakan pengajian diploma muzik pada 2012, yang ada hanyalah kemahiran bermain gitar elektrik tetapi sangat asas.

    “Namun, saya berusaha membina keyakinan menerusi pembelajaran gitar klasik pada tahun pertama pengajian dan lama-kelamaan saya mula fokus kepada gitar klasik dalam apa jua persembahan dan pertandingan,” katanya ketika program bual bicara ‘NINE 11’ terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

    Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik (Persembahan) dari UiTM Shah Alam itu menjadikan beberapa pemain gitar klasik antarabangsa seperti David Russell, Judicael Perroy, Florian Larousse dan Xavier Jara sebagai idolanya.

    “Sebelum terjebak dalam gitar klasik, saya meminati pemain gitar ‘blues’ kerana saya menyukai lagu-lagu berbentuk rock dan sentimental, sebab itulah pada mulanya saya lebih menyukai gitar elektrik,” katanya yang turut mahir dalam bermain ‘cuk’, iaitu alat muzik tradisional mirip ukulele.

    Sementara itu, Mohamed Shabyl berkata beliau mahu mengembangkan industri muzik tempatan menerusi pengalamannya membuat persembahan solo di pentas antarabangsa seperti di Hungary, Hong Kong dan Thailand.

    “Di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, pemain muzik diangkat sebagai satu profesion yang disanjung tinggi kerana sumbangan mereka terhadap industri muzik antarabangsa menerusi pelbagai persembahan jerawaraya dan pertandingan.

    “Menerusi persembahan di pelbagai festival muzik antarabangsa sejak 2014, saya berpeluang berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka. Pengalaman diperoleh hasil berinteraksi bersama mereka dan persembahan juga dapatlah dibawa pulang ke tanah air untuk dikongsikan bersama pemain muzik tempatan,” katanya.

    Menyifatkan dirinya sebagai seorang pemalu dan tidak banyak bercakap, penerima Anugerah Tan Sri Arshad Ayub sempena Majlis Konvokesyen UiTM ke-87 itu, mengakui bidang muzik banyak mengajar dirinya untuk membina keyakinan diri dan menyerlahkan bakatnya.

    Beliau berkata keputusannya untuk menukar bidang pengajian daripada Sains Kesihatan Bersekutu ke bidang muzik sejak lima tahun lalu sememangnya satu keputusan tepat kerana muzik sangat dekat dengan jiwanya.

    Bercakap mengenai rancangan masa hadapan, Mohamed Shabyl berkata buat masa sekarang, beliau mahu menghabiskan masa bersama anggota keluarganya terlebih dahulu memandangkan beliau baru sahaja menghabiskan pengajiannya di peringkat ijazah dua minggu lalu.

    “Ayah saya juga baru meninggal dunia beberapa bulan lepas dan tumpuan saya sekarang hanya mahu menghabiskan masa bersama ibu. Saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana seterusnya ke doktor falsafah dalam bidang yang sama kerana saya turut bercita-cita menjadi seorang pensyarah muzik.

    “Namun, buat masa sekarang biarlah saya mengukuhkan bakat saya dan menimba lebih banyak ilmu menerusi persembahan-persembahan antarabangsa serta berkongsi ilmu kepada mereka yang mempunyai minat yang sama dengan saya,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

    Ibu Mohamed Shabyl, Prof Dr Rozita Rosli yang merupakan pensyarah Biosains di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengakui pengaruh bermain alat muzik terutamanya dalam pelbagai jenis gitar sangat kuat dalam jiwa anak bongsunya.

    “Abangnya boleh bermain alat muzik dan pernah menyertai kumpulan band ketika melanjutkan pengajian dalam bidang sains perubatan di Melbourne, Australia namun beliau hanya bermain sebagai hobi sahaja.

    “Berbeza dengan Shabyl yang sangat minat dalam bidang muzik, saya percaya beliau mampu memperkasa industri muzik tempatan menerusi perkongsian pengalaman mengadakan persembahan di pentas antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Graduan Muzik Berhasrat Buat Kajian Gitar Klasik "