• Gotong-royong asas kesejahteraan rakyat - PM

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+

    SUNGAI BULOH: Datuk Seri Najib Razak berkata semangat gotong-royong yang berasaskan komuniti setempat adalah usaha bagi mewujudkan kesejahteraan rakyat.

    Komuniti setempat adalah penduduk di kampung manakala di bandar pula komuniti ini wujud di kawasan perumahan.

    Perdana Menteri berkata, komuniti setempat inilah struktur sosial yang penting untuk menegakkan negara dan mempertahankan pembangunan dan usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

    "Komuniti setempat inilah tiang utama. Jika struktur sosial lemah dan longlai, maka rumah (negara) yang dibina boleh runtuh," katanya.

    Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kejiranan Indah - My Beautiful Neighbourhood (MyBN) dan Majlis Gotong-Royong 2017 peringkat kebangsaan di tapak pasar tani Saujana Utama di sini hari ini.

    Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Mohammad Mantek.

    Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memastikan pembangunan negara dilakukan secara holistik, komprehensif dan seimbang.

    Justeru, katanya, kerajaan mengamalkan kepemimpinan yang membina untuk kesejahteraan rakyat.

    "Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengamalkan konsep membangunkan rakyat. Kita tidak merobohkan rumah... rumah imam atau bilal, kita hanya merobohkan 'rumah' nyamuk aedes," katanya.

    Najib turut mengingatkan Kerajaan Selangor supaya lebih bertanggungjawab dalam isu berkaitan dengan tempat pelupusan sampah dan kebersihan kawasan komuniti.

    "Pada masa ini, Selangor mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu lebih 40,000 kes setahun, iaitu kira-kira 100 kes sehari. Ini bukan rekod yang boleh dibanggakan.

    "Justeru, penduduk diminta membantu kerajaan negeri dengan membersihkan kawasan kejiranan masing-masing kerana kerajaan negeri tidak dapat melaksanakannya," katanya.

    Di peringkat kerajaan Persekutuan, katanya, program gotong-royong seperti dilancarkan hari ini adalah usaha kerajaan bagi meningkatkan kesedaran umum untuk menjaga kebersihan komuniti seterusnya mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

    "Melalui gotong-royong ini kita dapat menanamkan semangat toleransi dan pemuafakatan yang menjadi nilai kemanusiaan sejagat. Ia dapat melahirkan rasa cinta terhadap kebersihan dan nilai kerjasama sebagai rakyat Malaysia.

    "Macam hari ini, kita lihat semua kaum pun ada bersama bergotong-royong. Ini satu yang bagus dan cantik sekali, " katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Gotong-royong asas kesejahteraan rakyat - PM "