• Girls' Generation Di Ambang Perpecahan?

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+


    KUMPULAN K-pop wanita popular Girls' Generation atau SNSD, dilapor berada di ambang perpecahan.

    Biarpun baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-10 penubuhan, namun ia tidak menghalang tiga anggota kumpulan tersebut untuk membuat keputusan tidak menyambut kontrak dengan pengurusan SM Entertainment.

    Tiga anggota terbabit ialah Sooyoung, Seohyun dan Tiffany.

    Sebuah portal hiburan Korea memetik sumber yang memaklumkan bahawa biarpun perpecahan itu bukan secara langsung, namun ia boleh terjadi berdasarkan situasi semasa.

    "Ketiga-tiga mereka akan meneruskan karier bersama pengurusan yang lain; tentunya sukar untuk mengatur jadual apabila berada di bawah pengurusan yang berlainan," kata sumber itu.

    SM Entertainment dalam satu kenyataan bagaimanapun menafikan Girls' Generation akan dibubarkan.

    "Kami perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk tiga anggota yang sudah tamat kontraknya. Namun berpecah tidak ada dalam perancangan apatah lagi mereka adalah aset bernilai kepada kami," kenyataan itu menyebut.

    Sebelum ini, Girls' Generation pernah kehilangan seorang ahli, Jessica, yang ditamatkan kontrak pada 2014.

    Ditubuhkan pada 2007, Girls' Generation merupakan antara artis Korea Selatan paling berjaya dengan penjualan album melebihi 4 juta unit di seluruh dunia, malah menjadi antara pelopor muzik K-Pop di Amerika Syarikat. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Girls' Generation Di Ambang Perpecahan? "