• Giggs Minat Teraju Everton, Leicester

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    LONDON: Legenda Manchester United, Ryan Giggs (gambar) menyatakan minat terhadap kekosongan jawatan di Leicester City dan Everton.

    Everton memecat pengurusnya Ronald Koeman semalam selepas The Toffees terjerumus ke zon penyingkiran berikutan kekalahan memalukan 5-2 kepada Arsenal di laman sendiri.

    Pengendali dari Belanda itu menjadi mangsa korban ketiga musim ini selepas Crystal Palace memecat rakan senegaranya Frank de Boer hanya selepas empat perlawanan dan Leicester yang menamatkan kontrak Craig Shakespeare, minggu lalu.

    “Bagi saya sukar untuk menolak tawaran daripada kedua-dua kelab ini,” kata Giggs kepada Sky Sports, merujuk kepada Everton di kedudukan ke-18 EPL dan Leicester (14).

    “Saya fikir kedua-dua kelab ini mempunyai sejarah yang hebat, Leicester muncul juara liga dua musim lalu, Everton pula memiliki sejarah yang menakjubkan.

    “Bagaimanapun, saya pasti ramai jurulatih di luar sana berminat untuk kedua-dua jawatan terbabit.”

    Giggs mempunyai koleksi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan membuat 963 penampilan bersama United sebelum mengemudi Red Devils untuk empat perlawanan sebagai pengurus sementara susulan pemecatan David Moyes pada 2014.

    Dia kemudiannya bekerja sebagai penolong pengurus di bawah Louis van Gaal tetapi mengikut jejak langkah pengendali dari Belanda itu keluar dari Old Trafford kerana ditawarkan peranan lebih rendah oleh Jose Mourinho.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Giggs Minat Teraju Everton, Leicester "