• Ghairah Mahu Kelihatan Cantik

    Published: Tuesday, 17 October 2017
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Keghairahan masyarakat terutamanya kaum wanita untuk kelihatan cantik, putih, langsing dan kekal muda menjadi punca golongan itu mudah terpedaya dengan sesuatu produk kecantikan yang dipaparkan di media sosial tanpa usul periksa

    Melihat kepada kecenderungan yang negatif itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu berusaha sedaya upaya membanteras jualan produk kecantikan yang mengandungi bahan terlarang selain menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kewujudan doktor palsu yang kononnya pakar dalam bidang kecantikan.

    Pengarahnya, Dr Mohammad Omar, berkata setiap tahun lebih daripada RM1 juta produk kecantikan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dirampas pihaknya.

    "Melihat pada situasi masa kini, masyarakat seolah-olah tidak kisah bahaya yang akan dihadapi mereka sekiranya tersalah memakai produk, malah mereka akan mencuba apa sahaja produk yang kononnya mampu mencantikkan mereka dalam tempoh masa singkat meski pun testimoni yang diberikan tidak konkrit.

    "Masalah ini cukup membimbangkan kerana pihak kami kerap menerima pesakit yang mengalami masalah kesihatan kerana tersalah makan atau guna produk yang mengandungi bahan kimia," katanya kepada media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Auditorium Kompleks Rawatan Harian, Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) di sini.

    Katanya, kebanyakan pesakit takut dan malu untuk memaklumkan mereka tersalah makan atau pakai produk sehinggalah pemeriksaan terperinci dibuat oleh doktor.

    Mohammad berkata, lebih mengecewakan apabila masyarakat masih tidak pernah serik dengan kejadian yang menimpa mereka dan masih membeli barangan yang tidak mendapat kelulusan KKM.

    "Malah kaedah paling bahaya adalah melalui cara suntikan, ramai yang berani mengambil risiko menggunakan kaedah ini untuk mendapat kulit yang putih. Lebih membimbangkan apabila ada yang mengambil suntikan daripada salon atau peniaga yang tidak bertauliah.

    "Siasatan memang dijalankan sepanjang masa, dan kita akan mengenal pasti lebih banyak lagi pengeluar atau agen produk kecantikan yang tidak diiktiraf ini supaya masalah ini dapat dibendung," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ghairah Mahu Kelihatan Cantik "