• George HW Bush mohon maaf

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George HW Bush memohon maaf kerana secara berjenaka menepuk belakang wanita selepas seorang aktres mendakwa beliau meraba dari kerusi roda ketika menyaksikan satu tayangan.

    Heather Lind, 34, berkata insiden itu berlaku empat tahun lalu dalam satu majlis mempromosikan siri televisyen 'Turn: Washington's Spies', lapor akhbar Daily Mail.

    Daily Mail sempat menyimpan rakaman skrin dan pos panjang lebar aktres itu di Instagram yang kemudian dipadamkan.

    Ia antara perkembangan terbaru dalam gelombang dakwaan gangguan seksual terhadap tokoh lelaki berkuasa dalam dunia hiburan, fesyen dan kewangan susulan kejatuhan mogul filem Harvey Weinstein, yang dituduh menyerang dan merogol aktres.

    Lind memutuskan untuk berkongsi kisahnya selepas melihat Bush Sr, 93, muncul di sebuah konsert bertujuan mengumpul dana untuk mangsa taufan di selatan Amerika Syarikat dan Caribbean.

    Seorang jurucakap Bush memohon maaf kepada Lind di atas perbuatan bekas presiden itu yang dikatakan sekadar 'cuba berjenaka'.

    "Presiden Bush bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda sejak lima tahun lalu, jadi lengannya berada di paras bawah pinggang orang lain setiap kali bergambar," kenyataan dari pejabat Bush menyebut.

    "Untuk cuba menenangkan orang lain, beliau sering berjenaka dan ada kalanya menepuk bahagian belakang wanita untuk beramah mesra.

    "Ada yang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak salah, ada menganggapnya tidak wajar. Kepada sesiapa yang tersinggung dengannya, Presiden Bush dengan ikhlas hati memohon maaf," kata kenyataan itu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " George HW Bush mohon maaf "