• Gencatan senjata tamat ARSA tak serang

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    YANGON: Tiada tanda-tanda kumpulan militan Rohingya mahu melancarkan serangan hari ini selepas tempoh gencatan senjata sebulan tamat, kata pihak berkuasa Myanmar.

    Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) mengisytiharkan gencatan senjata bermula 10 September lalu untuk memberi laluan penghantaran bantuan ke negeri Rakhine selepas serangan kumpulan itu pada 25 Ogos lalu mencetuskan reaksi ganas kerajaan.

    Seorang jurucakap kerajaan negeri berkata, pihak berkuasa agak berhati-hati sejak kebelakangan ini dan mengetatkan tahap keselamatan di ibu kota, Sittwe sebaik saja tarikh akhir gencatan senjata berakhir.

    "Kami mempunyai maklumat bahawa ARSA boleh menyerang tetapi setakat ini tiada sebarang laporan," kata jurucakap itu, Min Aung.

    Pada Sabtu lalu, kumpulan pemberontak itu mengisytiharkan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang tindakan kerajaan walaupun gencatan senjata berakhir pada tengah malam Isnin.

    Pada masa sama mereka turut mengulangi tuntutan terhadap hak orang Rohingya yang tidak pernah dianggap sebagai etnik minoriti pribumi di Myanmar dan dinafikan kewarganegaraan mereka. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Gencatan senjata tamat ARSA tak serang "