• Gara-gara Kasut Tumit Tinggi, Zara Zya Dikejarkan Ke Hospital

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    Akibat terlalu kerap memakai kasut tumit tinggi telah mengundang padah kepada pelakon Zara Zya, 32, apabila dia mengalami kesakitan di bahagian kaki sehingga tidak mampu berjalan.

    Menurut pengurusnya Along Ailina, faktor kekurangan rehat juga menyebabkan kesihatan bintang utama drama bersiri Love You Mr. Arrogant itu terjejas. Bagaimanapun tiada kecederaan serius berlaku ke atasnya.

    “Syukurlah tiada sebarang masalah kesihatan serius. Cuma pagi semalam dia tiba-tiba tidak boleh berjalan dan kaki kanannya tidak mampu memijak lantai. Selepas mendapatkan rawatan, doktor mengatakan mungkin disebabkan kurang rehat dan kerap memakai kasut tumit tinggi.

    “Zara diberikan suntikan dan ditahan seketika kerana doktor mahu memantau tindak balas ubat yang diberikan kepadanya. Ini kerana Zara mempunyai alahan terhadap ubat penahan sakit,” jelasnya kepada Utusan Online.

    Menurut Along Ailina, Zara kerap memakai kasut tumit tinggi demi menjayakan watak dalam drama Monalisa yang sedang dalam proses penggambaran.

    “Kebelakangan ini setiap hari dia terpaksa memakai kasut tumit tinggi kerana tuntutan watak lakonannya. Selepas ini kami akan memantau dan dia hanya akan memakai kasut tersebut ketika dalam set penggambaran sahaja.

    “Zara diberikan cuti sakit selama tiga hari dan kami sangat bersyukur kerana pihak produksi amat memahami situasinya. Mereka mengatur kembali jadual untuk Zara dan membenarkan dia berehat sehingga kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala,” ujarnya.

    Selain Zara Zya, pelakon Nabila Huda juga dimasukkan ke hospital. Selain memuat naik gambar dalam laman sosial Instagram miliknya, Nabila turut meninggalkan komen pada gambar Zara dengan menyatakan mereka mengalami penyakit yang sama tetapi Nabila bukan berpunca daripada kasut tumit tinggi. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Gara-gara Kasut Tumit Tinggi, Zara Zya Dikejarkan Ke Hospital "