• FIC Putuskan Esok Tindakan Undang-Undang Terhadap Rafizi

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) akan memutuskan esok, sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana memfitnah syarikat itu.

    Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata dakwaan dibuat Rafizi sangat serius dan tidak berasas kerana hanya berdasarkan laporan media.

    "Laporan berita itu menyatakan pemilikan semasa Hotel Grand Plaza Kensington dimiliki syarikat yang didaftarkan di British Virgin Islands (BVI) yang dinamakan FIC London Hotel (Private) Limited.

    "Hakikatnya tarikh 13 Oktober yang dipetik Rafizi adalah tarikh salinan diakui sah (CTC) menyatakan dua aset di London itu masih dimiliki FIC.

    "Ini (dakwaan Rafizi) adalah maklumat palsu berasaskan berita tak tepat. Sebagai pakar, dia perlu menentukan maklumat itu betul, tetapi dia silap rujuk tarikh salinan saham syarikat.

    "Kalau kita profesional dan pakar percukaian, kena semak semua perkara sebelum membuat andaian," katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

    Shahrir berkata, jika betul Rafizi mempunyai maklumat baharu mengenai FIC, beliau sepatutnya menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

    "SPRM sudah menyiasat sejak Julai lalu. Siasatan aset hotel Kensington masih berjalan ketika ini, malah beberapa orang sudah disiasat.

    "Kenapa baru sekarang Rafizi 'bising' di bulan Oktober ini. Sudah tiga bulan kita senyap sebab SPRM tengah buat kerja menyiasat," katanya.

    Shahrir dan Razali turut menafikan dakwaan Rafizi bahawa BVI FLH tidak dimiliki FIC atau FELDA.

    Naib Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa tindakan FELDA tidak mengawal BVI FLH menyebabkan RM330 juta yang dilaburkan dalam Hotel Grand Plaza Kensington, mungkin diseleweng sepenuhnya.

    Sementara itu, Razali meminta Rafizi mencari semula mereka yang sudah terpengaruh dengan berita palsunya dan menjelaskan keadaan sebenar, selain meminta maaf atas dakwaan itu.

    "Rafizi terlampau obses dengan dakwaan yang dia buat untuk membina kepercayaan orang ramai. Mereka yang mendengar tuduhan itu sampai hari ini terus percaya.

    "Saya bimbang jika tuduhan itu tidak dibetulkan, mereka yang mendengar akan terus menghukum orang lain sebagai salah kerana percayakan Rafizi," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " FIC Putuskan Esok Tindakan Undang-Undang Terhadap Rafizi "