• Festival Arak Terima Ancaman - KPN

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tidak membenarkan 'Better Beer Festival 2017', dibuat berikutan ancaman yang diterima untuk acara itu.

    Berdasarkan maklumat yang diterima, wujud perancangan untuk mensabotaj acara berkenaan jika diteruskan.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata keputusan itu tidak ada sangkut paut dengan sensitiviti keagamaan, perkauman atau desakan politik.

    "Umum sendiri mengetahui bahawa PDRM sebelum ini tidak pernah menyekat penganjuran festival sama pada tahun-tahun sebelum ini kerana tiada ancaman sedemikian.

    "Justeru, pihak kami tidak akan menggadaikan keselamatan rakyat dan harta benda awam, hanya kerana wujud tekanan daripada pihak yang berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

    Tidak menyatakan secara jelas bentuk ancaman yang diterima, Mohamad Fuzi berkata, semua pihak juga harus faham usaha memerangi ancaman militan bukan sesuatu yang mudah.

    "Kuasa besar dunia yang memiliki kecanggihan teknologi sekali pun gagal menyekat negara mereka daripada terus menjadi sasaran militan.

    "Apa yang jelas, tindakan pencegahan lebih berkesan daripada membiarkan jiwa terkorban," katanya.

    Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dan berganjak daripada keputusannya demi menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Festival Arak Terima Ancaman - KPN "