• Fara Mendoza tidak sengaja tular video seakan bercium - Janna Nick

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+
    PETALING JAYA 5 Okt.- Pelakon Janna Nick yakin rakan baiknya Fara Mendoza tidak mempunyai niat jahat ke atas dirinya.

    Jelasnya kesilapan Fara memuat naik video berdurasi selama 15 saat yang menampakkan seakan dia sedang bercium dengan pelakon Fattah Amin bukan perkara yang disengajakan.

    “Saya tidak salahkan dia seratus peratus dalam hal ini sebabnya ketika waktu dia memuat naik video itu, saya dan pihak krew yang berada di situ tahu Fara sedang merakamkan adegan tersebut.

    “Bagaimanapun ketika itu tiada siapa di antara kami yang meminta Fara memadam video itu kerana tidak tahu akan menjadi tular. Apa pun dia sudah meminta maaf atas kesilapan tersebut,”katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran drama Dia di Damansara semalam.

    Tambah Janna Nick, jika benar dakwaan yang mengatakan Fara sengaja mahu menjatuhkan dirinya, dia yakin pelakon itu sudah boleh melakukannya sejak dahulu lagi.

    “Kalau benar dia mahu jatuhkan saya, ada banyak lagi video kami yang boleh dia tularkan untuk jatuhkan saya. Saya yakin dia tidak sengaja atau mahu meraih populariti,” jelasnya.

    Sementara itu kontroversi aksi bercium Janna dengan Fattah Amin dalam adaptasi Korea, Coffee Prince menjadi viral sejak beberapa minggu lalu. Selain menerima kecaman ada yang beranggapan babak seperti itu tidak sepatutnya diwujudkan.

    Dalam masa yang sama Janna percaya kontroversi ini sedikit pun tidak menganggu perjalanan kariernya. Malah dia juga tidak menolak faktor populariti Fattah turut menyumbang kepada kontroversi ini.

    “Saya sedikitpun tidak terkesan dengan kontroversi ini kerana lebih tahu apa yang berlaku. Dalam masa yang sama saya tetap menjaga kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.

    “Mungkin sebelum ini Fattah sering dikaitkan dengan heroinnya dalam setiap drama sebab itu saya juga sudah bersedia menghadapi kemungkinan kontroversi lain pula berlaku,”katanya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Fara Mendoza tidak sengaja tular video seakan bercium - Janna Nick "