• FAM Patut Bantu Ringankan Beban Kewangan FAS - Karim

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

    Menurutnya, bantuan seperti itu penting bagi memastikan Sarawak terus kekal bersaing dam saingan bola sepak negara.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Karim berkata, FAS perlu menanggung perbelanjaan sangat tinggi disebabkan jadual perlawanan, di mana Sarawak perlu terbang untuk bermain di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebanyak 12 kali setahun.

    "Saya tidak dapat menyalahkan FAS mengadu tentang kewangan, sebab itu saya sering mendesak mereka agar memberitahu FAM mengenai situasi dimana FAS tidak mampu menampung perbelanjaan perlawanan ke Semenanjung dan Sabah kerana kos untuk menjaga pasukan adalah lebih kurang RM1 juta sebulan bagi membayar gaji pemain dan pegawai, pengangkutan, penginapan serta banyak lagi.

    "Maka, sememangnya FAM yang sepatutnya membantu pasukan Sarawak termasuk juga Sabah atau mereka (FAM) meminta daripada kerajaan persekutuan. Jika masalah kewangan menyebabkan Sarawak dan Sabah tidak dapat menyertai saingan liga bola sepak Malaysia, ini menampakkan integrasi nasional yang tidak baik," katanya.

    Setiap berkunjung ke gelanggang lawan, Karim menjelaskan, FAS perlu membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk membawa lebih kurang 20 pemain dan pegawai.

    Ujarnya, setiap tahun kerajaan negeri ada memberi geran kepada FAS tetapi tidak mencukupi.

    "Kita (kerajaan negeri) tidak dapat tanggung semua kos FAS kerana kita juga membantu dalam penyediaan kemudahan, lagipun kita perlu membantu serta menjaga banyak sukan lain tetapi daripada semua sukan di Sarawak, FAS mendapat geran terbesar," ujarnya.-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " FAM Patut Bantu Ringankan Beban Kewangan FAS - Karim "