• Ekonomi Digital Dijangka Dapat Sokongan

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Inisiatif ekonomi digital akan terus mendapat sokongan dalam Bajet 2018, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood.

    Beliau berkata senarai permintaan bajet itu kemungkinan besar akan kekal sama seperti tahun lepas dengan tumpuan utama kepada ekonomi digital.

    "Pemimpin kita (kerajaan) menyedari sepenuhnya mengenai kesan kepada pertumbuhan ekonomi digital bagi negara.

    "Tahun lalu adalah bukti daripada kesan ekonomi digital dengan pelbagai program, seperti 'eRezeki', yang memberi momentum yang besar," katanya kepada pemberita di luar acara Big Data Week Asia 2017 di sini hari ini.

    Yasmin berkata, pada tahun lepas, tumpuan adalah kepada ekosistem syarikat permulaan dan momentum tersebut akan berterusan untuk beberapa tahun lagi.

    Sejumlah RM162 juta diperuntukkan kepada MDEC dalam Bajet 2017 bagi program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement selain pengenalan Hab Digital Malaysia.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semasa mengumumkan perkara itu, berkata sambungan digital merupakan revolusi dalam aktiviti ekonomi, menyumbang hampir 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

    Acara Big Data Week Asia 2017 selama dua hari itu, bermula hari ini, dianjurkan oleh MDEC dan Knowledge Group of Companies bagi penggiat industri, pelajar dan orang ramai.

    Ia menampilkan penceramah antarabangsa daripada pelbagai bidang kepakaran, peserta pameran utama, penaja dan acara satelit yang menumpukan kepada membina ASEAN yang dipacu data.

    Yasmin berkata, bagi membantu Malaysia menerajui ekonomi digital, MDEC akan bekerjasama dengan rakan kongsi yang berkaitan untuk membangunkan rangka kerja Kecerdasan Buatan (AI) negara.

    "Apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan melihat kepada perkembangan dan mengembangkan data raya kita yang sedia ada.

    "AI telah wujud agak lama dan negara sedang bergerak ke arahnya," katanya, sambil menambah ia akan menjadi lanjutan yang penting kepada Rangka Kerja Analisis Data Raya Negara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ekonomi Digital Dijangka Dapat Sokongan "