• Dua Lagi Suspek Bunuh Anggota TLDM

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    SERI MANJUNG: Dua lagi anggota pengawal Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan, ditahan hari ini bagi disiasat berhubung kes kematian dua anggota pasukan itu pada 29 September lalu.

    Kedua-dua anggota berkenaan sebelum ini direman pada 3 Oktober dan disambung reman semula pada 7 Oktober sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah terhadap dua anggota.

    Ketua Siasatan Jenayah Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 37 tahun itu yang tamat reman hari ini, ditangkap semula untuk disiasat mengikut Seksyen 302 kanun sama.

    "Kedua-dua suspek akan direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan esok," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Tian Kee berkata, ia bermakna seramai tujuh orang pengawal bilik tahanan berkenaan kini menjadi suspek kes kematian dua anggota TLDM dalam bilik tahanan pasukan itu, berbanding lima orang sebelum ini.

    Sebelum ini, polis menahan reman tiga orang pada 1 Oktober dan dua orang keesokan harinya untuk disiasat mengikut Seksyen 302 kanun sama.

    Reman bagi semua lima suspek berkenaan tamat pada Ahad ini.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Dua Lagi Suspek Bunuh Anggota TLDM "