• Dua ditahan cuba seludup patung

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    BUKIT KAYU HITAM: Tindakan menyeludup masuk patung tembaga dari Thailand ke negara ini tanpa memiliki dokumen sah membawa padah kepada dua lelaki yang ditahan di Kilometer 1.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini semalam.

    Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah, berkata tindakan suspek warga Thailand yang menjadi penghantar barang terbabit dikesan anggotanya pada jam 3.45 petang.

    Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pikap mendapati patung itu tidak memiliki dokumen kebenaran masuk daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

    "Ketika pemeriksaan itu, seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun kemudian datang dan memaklumkan ukiran patung itu adalah miliknya yang dibeli di negara jiran.

    "Tindakannya yang membeli ukiran patung itu tanpa mengisi dokumen kastam satu perbuatan salah kerana mengelak membayar cukai," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd Khairi berkata, dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke pejabat AKSEM sebelum diserahan kepada JKDM untuk tindakan selanjutnya.

    "Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang belum lulus kastam.

    "Bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian dikompaun RM508 dan denda RM1,000 dengan jumlah keseluruhan dibayarnya RM1,508," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Dua ditahan cuba seludup patung "