• Dua banduan rekrut banduan lain diasingkan di Penjara Taiping

    Published: Sunday, 8 October 2017
    A- A+
    BAGAN DATUK - Dua bekas banduan yang telah ditahan polis selepas dipercayai bertindak merekrut banduan lain menjadi pengganas di Penjara Tapah akan diasing dan ditempatkan di Penjara Taiping dekat sini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua suspek yang berusia 53 dan 37 tahun itu berkemungkinan akan ditempatkan di sebuah kem tahanan yang telah diubahsuai di dalam penjara tersebut.

    Jelasnya, mereka akan melalui dasar deradikalisasi atau pemulihan semula banduan yang merupakan satu proses pemulihan untuk banduan yang dikhutiri membahayakan penghuni lain.

    "Kita telah jalankan pemulihan ini sejak tahun 1948 dan dasar tersebut telah berjaya dengan 97.5 peratus daripada 15,000 banduan berjaya dipulihkan.

    "Saya jamin kem tahanan di Penjara Taiping yang telah diubahsuai ini mampu memulihkan pengganas-pengganas yang ditahan dalam pelbagai kesalahan," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan kepada masyarakat India Kawasan Parlimen Bagan Datuk sempena sambutan Deepavali di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hutan Melintang di sini sebentar tadi.

    Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin.

    Kosmo! hari ini melaporkan polis telah menahan dua bekas banduan selepas dipercayai bertindak merekrut banduan lain di Penjara Tapah dekat sini bagi menyertai kumpulan pengganas Tandzim Al-Qaeda Malaysia (TAQM) dalam satu serbuan baru-baru ini.

    Kedua-dua mereka sebelum ini pernah ditahan pada Februari 2013 dan dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana terlibat dengan kumpulan pengganas.

    Mereka yang juga bekas penghuni penjara berkenaan dan baru dibebaskan telah ditahan sepasukan anggota Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman.- KOSMO

    Subjects:

  • No Comment to " Dua banduan rekrut banduan lain diasingkan di Penjara Taiping "