• Dosa Besar Tuduh KFC Haram

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah menafikan tular mengaitkan dirinya yang mengatakan ayam goreng KFC haram dimakan.

    Beliau berkata, isu ‘haram’ itu sudah lama berlaku sekitar pada tahun 1987, namun ditular semula di media sosial seperti WhatsApp.

    “Selepas 1987, perkara ini sudah senyap dan tidak ada apa-apa yag berlaku. Apa yang ingin saya katakan adalah penyebar berita ini adalah fasik dan tidak tabayyun.

    “Dalam al-Quran sudah disebutkan, apabila mendapat satu berita itu tabbayun (siasat) dahulu di mana puncanya, kalau tidak kaum itu akan mendapat kejahilan daripada berita buruk ini.

    Jadi, saya anggap penyebar ini mereka yang fasik sekali dan sangat berdosa besar. Saya tidak redha dunia akhirat,” katanya kepada Sinar Online.

    Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia) ini juga berkata, perkara yang sama pernah berlaku pada dirinya sekitar 10 tahun lalu.

    Tambahnya, isu tular ini sangat berat dan perlu diambil tindakan segera kerana mengakibatkan kerugian besar kepada KFC.

    “Saya juga menafikan perkara ini dan KFC juga sudah mengambil maklum terhadap isu ini. Kerana itu, saya katakan, mohon KFC cari mereka yang menyebar dan mengambil tindakan saman terhadapnya,” katanya.

    Beliau memberitahu masalah halal haram tidak timbul sekarang kerana ayam sembelihan yang dibekalkan ke restoran KFC adalah dari rumah sembelih yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

    “Mereka juga sudah buat pemantuan di tempat penyembelihan ayam. Perkara ini tak ada apa-apa isu pun, mengapa tiba-tiba timbul?

    “Apa salah saya. Saya bukan jenis yang suka jatuhkan orang. Pendirian saya adalah memperbetulkan yang biasa, membiasakan yang betul,” ujarnya.

    Beliau turut berharap orang ramai tidak mempercayai tular tersebut lagi.

    “Dalam usia saya 71 tahun ini, mengapa ada yang sanggup nak jatuhkan saya? Saya ini siapa? Ketua Pengarah Jakim ke? Mufti ke? Ulama besar ke hingga ada yang percaya pada perkara sebegini.

    “Saya mahu meninggal (dunia) dalam keadaan begini di mana orang mengutuk kita atas kesalahan yang bukan dari diri sendiri,” ujarnya.

    - Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Dosa Besar Tuduh KFC Haram "