• Dokumentari Pembunuhan Kejam Remaja Perempuan 13 Tahun, Pembantu Rumah

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    Kes pembunuhan kejam remaja perempuan berusia 13 tahun, Aarushi Talwar dan pembantu rumah keluarganya, Hemraj Banjade di Noida, India sembilan tahun lalu belum ada jalan penyelesaian.

    Kes itu dianggap misteri kerana suspek belum ditemui sehingga kini malah motif pembunuhan juga tidak diketahui.

    Kisah terbabit turut mencuri perhatian pembaca di luar India, sekali gus membuatkan HBO Asia berminat untuk menghasilkan dokumentari The Talwars: Behind Closed Doors bagi merungkai pembunuhan itu.

    Dokumentari pertama terbitan HBO Asia ini dihasilkan dalam empat bahagian dan akan disiarkan di saluran HBO pada setiap Ahad, jam 9 malam, mulai 26 November ini.

    Penonton bakal menyaksikan temu bual eksklusif bersama ibu bapa Aarushi, Dr Rajesh Talwar dan Nupur Talwar serta beberapa individu yang turut terbabit dalam kes berkenaan.

    Pada pagi 16 Mei 2008, Arushi ditemui mati dalam keadaan ngeri di atas katilnya manakala Banjade didapati hilang sekali gus menjadi suspek utama pembunuhan itu.

    Bagaimanapun, mayat Banjade kemudian ditemui di atas loteng kediaman keluarga Talwar. Dengan penemuan itu, polis kemudian meletakkan pasangan Talwar sebagai suspek kerana hanya empat orang berada di kediaman terbabit pada malam kejadian.

    Bagaimanapun, selepas tiga siasatan dan perbicaraan mahkamah sepanjang sembilan tahun, kes itu masih tergantung tanpa penyelesaian.

    Ketua Pegawai Eksekutif HBO Asia, Jonathan Spink berkata, The Talwars: Behind Closed Doors adalah karya keempat terbitan produksi berkenaan bagi tahun ini.

    “Januari lalu, HBO Asia sudah menerbitkan musim kedua drama bersiri fantasi Halfworlds. Ia diikuti dengan siri Cina pertama The Teenage Psychic yang mendapat sambutan luar biasa di Taiwan.

    “Selain itu, produksi ini turut menghasilkan drama komedi sulung berjudul Sent pada September lalu,” katanya.

    Spink berkata, produksi terbabit akan terus mengetengahkan kisah menarik dan relevan dari Asia yang dekat di hati penonton di rantau terbabit.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Dokumentari Pembunuhan Kejam Remaja Perempuan 13 Tahun, Pembantu Rumah "