• ‘Ditembak Mati Tanpa Sebab’

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+


    COX’S BAZAR: Sofia Begum sudah tidak mampu menitiskan air matanya lagi. Dia berkongsi mimpi ngeri yang sentiasa terpahat di ingatannya.

    Seramai 10 tentera datang ke perkampungannya di wilayah Rakhine, Myanmar dan menembak anak lelakinya yang berusia enam tahun.

    Suaminya turut ditembak tetapi terselamat dan mengalami kecederaan di kaki.

    "Mereka menembak anak lelaki saya di kepala manakala suami pula di kaki.

    "Ada di antara kanak-kanak perempuan itu berusia 12 tahun. Mereka dirogol dan leher mereka dikelar.

    "Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kami hanya melarikan diri," katanya menerusi jurubahasa yang berada di kem pelarian Kutupalong dekat sini, Ahad.

    "Kami lari meninggalkan kampung. Kami berjalan kami selama 15 hari sebelum sampai ke kem ini.

    "Jika tentera mengesan sesiapa yang berjalan, tembakan akan dilepaskan ke arah mereka," katanya.

    Seorang lagi pelarian Rohingya, Roshid Ahmad, 38, juga dari Rakhine berkata tentera Myanmar mengarahkan etnik itu untuk menyerahkan pisau dapur mereka dan beberapa peralatan tajam yang digunakan untuk tujuan pertanian.

    "Ia menghalang kami untuk mempertahankan diri," katanya.

    Roshid juga memberitahu bagaimana etnik Rohingya di kampungnya dibunuh dan dirogol.

    "Adik bongsu saya ditembak mati ketika dia cuba berhenti untuk berehat ketika cuba melarikan diri. Tentera akan datang ke kampung pada waktu malam untuk merogol dan membunuh kerana ketika itu kehadiran mereka tidak dapat dikesan mangsa.

    "Tanyalah sesiapa di sini. Mereka akan beritahu anda tentera akan menembak mati setiap etnik Rohingya yang mereka lihat, sama ada ketika sedang berjalan atau di dalam rumah mereka.

    "Mereka akan menembak mangsa tanpa sebab," kata Roshid yang tiba di kem tersebut bersama isteri dan empat anaknya.

    Roshid berkata dia dan beberapa pelarian yang datang sempadan daerah Myanmar dan Bangladesh itu amat bertuah kerana sampai di kem tersebut dengan selamat.

    "Jika seratus mangsa cuba melarikan diri dari Myanmar, hanya 40 akan selamat tiba di kem pelarian," katanya.

    Mereka yang gagal melarikan diri berdepan gangguan.

    "Beberapa masjid diarahkan untuk ditutup sejak beberapa tahun lalu. Kami diberitahu kami akan diberi dokumen pengenalan diri jika kami keluar Islam.

    "Jika kami enggan keluar Islam, kami tidak akan diberikan dokumen itu," dakwa Roshid.

    Sumuda Begum, 25, yang sedang hamil lapan bulan tiba di kem pelarian itu pada Sabtu. Dia berjalan selama lapan hari sebelum tiba di kem tersebut.

    "Suami saya ditembak mati oleh tentera. Ketika saya cuba melarikan diri ke Bangladesh, saya ternampak begitu banyak mayat di tepi jalan sehingga saya muntah," katanya.

    Seorang sukarelawan Malaysia, Dr Ahmad Yusuf Yahaya, 32, mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Perubatan Islam Malaysia berkata, kebanyakan pelarian Rohingya tidak mempunyai pengetahuan asas kesihatan dan maklumat pemakanan.

    "Kami sedang bekerjasama dengan pasukan perubatan di sini untuk menyediakan bantuan perubatan asas dan meningkatkan kesedaran di kalangan pelarian mengenai pentingnya kesihatan.

    "Terdapat puluhan ribu pelarian di kem sepanjang sempadan Myanmar-Bangladesh dengan 70,000 daripada merupakan wanita hamil.

    "Kem pelarian yang diasingkan kini menjadi bandar khemah kecil di sini.

    "Ia krisis kemanusiaan. Penyakit berjangkit boleh merebak dengan cepat jika tidak dibendung segera," katanya. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Ditembak Mati Tanpa Sebab’ "